Amanah Main Politik ‘Dua Kolam’, Punca Ahli Lompat PKR



Sebaran :

PETALING JAYA: Setiausaha Pemuda PKR, Syukri Razab membidas kenyataan Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub yang kesal tindakan tiga Ahli Dewan Undangannya (ADUN) di Johor meninggalkan parti untuk menyertai PKR.

Beliau berkata, Salahuddin perlu bermuhasabah diri dan menjauhi sikap parti lama beliau (PAS) yang gemar bermain “politik bermuka-muka” atau “politik dua kolam”.

“Mungkin inilah yang menyebabkan berlakunya hijrah ahli Amanah ke dalam PKR yang dilihat lebih jelas dan tegas atas prinsip,” katanya dalam satu kenyataan.



Syukri memberi contoh tindakan Salahuddin mahu bersama PKR, tetapi dalam masa yang sama masih tidak mahu keluar dari “kelambu” Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata Amanah juga wajar menghormati PKR untuk tidak menjalin hubungan dengan seteru politiknya.

“Apatah lagi mengeluarkan kenyataan bersama dengan membelakangkan PKR,” katanya.



Syukri berkata, Salahuddin wajar bermusabah dan insaf sebelum menyerang PKR.

“Saya rasa timbalan presiden Amanah itu keliru untuk membezakan rakan dengan musuh.

“Apakah Salahuddin mahu PKR menolak penyertaan 3 ADUN ini dan membiarkan mereka membeku dalam Amanah, sedangkan jiwa mereka sudah tidak lagi bersamanya,” soalnya.



 

Semalam, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad mengesahkan tiga ADUNnya di Johor meninggalkan parti untuk menyertai PKR, sekutunya dalam Pakatan Harapan (PH).

Khalid memberitahu FMT bahawa tindakan tiga wakil rakyat itu tidak mengejutkan kerana khabar angin berhubung keputusan mereka sudah tersebar sebelum ini.

Salahuddin menyebut di Twitternya semalam bahawa adalah “tidak manis” bagi mana-mana parti dalam komponen PH menerima mana-mana ahli parti rakan.



“Saya rasa semangat ini adalah disepakati dalam mana-mana parti yang membentuk pakatan atau gabungan,” katanya.

Dalam pada itu, Syukri berkata Salahuddin sewajarnya berterima kasih kepada PKR kerana memberi ruang alternatif kepada tiga pemimpin itu untuk terus setia bersama PH.

Katanya, adalah “lebih tidak manis” untuk Salahuddin menganggap hijrah tiga pemimpin ini secara negatif sedangkan mereka memilih PKR, bukannya PPBM, Umno atau Perikatan Nasional (PN).



“Salahuddin kelihatan begitu ‘terusik’ apabila PKR menerima penyertaan mantan ahli Amanah, lalu beliau sifatkan PKR tidak hormat semangat Pakatan.

“Bagaimana pula sikap Salahuddin sendiri yang masih akrab dengan kelompok yang tidak pun mahu bersama dalam gabungan PH, malah kerap menyerang presiden PKR secara terbuka,” katanya.


Sebaran :


Leave a Reply