Takut tegur menteri punca buku teks Sejarah Tingkatan 4 diseleweng?
Peringkat tertinggi kementerian hanya angguk, anggap ikut arahan Menteri
Pihak atasan di sesebuah kementerian perlu berani menegur menteri jika wujud sebarang salah laku yang memudaratkan.
Pengerusi Biro Pembangunan Insan dan Komuniti Majlis Perundangan Melayu (MPM), Kamalshukri Abdullah Sani berkata, sebagai golongan profesional dan juga pakar dalam bidang-bidang tertentu ia menjadi satu kewajiban kepada mereka untuk menegur kesilapan yang berlaku.
Namun begitu, dakwa beliau, malangnya pihak-pihak terbabit didapati gagal berbuat demikian sehingga terikut dengan tingkah laku menteri.
“Saya pernah berkhidmat di kementerian. Jadi, kita bimbang apa yang berlaku kadang-kadang atas kehendak menteri. Jadi, kita kena fikir dari segi profesional dan kepakaran adakah itu (sesuatu perkara) betul atau tidak.
“Jadi, kalau tak betul, kita perlu ada keberanian untuk memberitahu menteri,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan wakil gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu pada Isnin membuat laporan polis berhubung fakta di dalam Buku Teks Sejarah Tingkatan 4 didakwa telah diselewengkan.
Buku Teks Tingkatan 4: Fitnah orang Melayu Sebagai Barua dan Agungkan Komunis – Dr. Asyraf Wajidi
Selain daripada memasukkan elemen komunis sebagai pejuang kemerdekaan, buku teks Sejarah Tingkatan 4 itu juga mengangkat tokoh gerakan kiri nasionalis Melayu radikal dan mengiktiraf sumbangan mereka dalam perjuangan kemerdekaan.
Menyifatkan keberanian berkenaan jarang ada, Kamalshukri mendakwa, kementerian terutamanya di peringkat tertinggi akan hanya mengangguk, selain mengganggap mereka mengikut arahan menteri.
“…walaupun dia sendiri (ketua pengarah) sedar perkara itu betul.
“Sebagai contoh, Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan Dual Language Program (DLP) yang sebenarnya dasar sama didakwa tidak betul.
“Jadi, tiada yang berani berkata benar walaupun pahit dan sentiasa angguk walaupun salah,” katanya.