Buku Teks Tingkatan 4: Fitnah orang Melayu Sebagai Barua dan Agungkan Komunis – Dr. Asyraf Wajidi

Kerajaan Perlu Tarik balik Buku Teks Tingkatan 4

PETALING JAYA: Pemuda Umno menggesa Kementerian Pendidikan menarik balik buku teks sejarah Tingkatan 4, mendakwa terdapat unsur fakta yang dimanipulasikan dengan mengagungkan komunis sebagai pejuang kemerdekaan, dalam sukatan buku teks sejarah Tingkatan 4 Pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Menengah.

Ketuanya, Asyraf Wajdi Dusuki, menunjukkan gambar halaman yang dikatakan bermasalah itu dalam kenyataannya di Facebook.

Katanya, perkara ini semacam “usaha terancang” dan “secara halus menyuci pemikiran pelajar bahawa fahaman sosialis dan komunis tidaklah buruk malah diangkat sebagai antara ideologi yang memperjuangkan kemerdekaan.”

Beliau juga mahu pembacanya merujuk halaman 75 buku teks tersebut, mengatakan terdapat unsur memfitnah dan menohmah orang Melayu sebagai barua atau orang suruhan pihak penjajah Jepun untuk menentang komunis dan Malayan People Anti-Japanese Army (MPAJA).

“Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mendesak agar Kementerian Pendidikan segera menarik balik buku-buku sejarah Tingkatan 4 dan memperbetulkan kembali fakta-fakta yang cuba dimanipulasi bagi mengubah sejarah negara,” katanya.

Asyraf juga mendakwa kerajaan lepas secara “secara halus dan dan tersirat” mengangkat anggota komunis dan MPAJA sebagai perwira dan pejuang kemerdekaan yang wajar diberikan pengiktirafan.

Pemimpin parti Melayu itu berkata menteri kanan Umno, Ismail Sabri Yaakob, yang bertanggungjawab ke atas keselamatan, sudah maklum akan perkara ini dan akan membawanya ke Jemaah Menteri supaya tindakan segera boleh diambil.

“Harap mereka ambil tindakan segera!” katanya.

FMT sudah menghubungi bekas menteri pendidikan, Maszlee Malik dan bekas timbalan menteri pendidikan, Teo Nie Ching bagi mendapatkan maklum balas berhubung dakwaan Pemuda Umno itu.

Leave a Reply