‘Isu kerusi PRU sahaja, Pas yakin satu lawan satu’

Pas berkeyakinan parti-parti Melayu dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) mampu mengelakkan pertembungan tiga penjuru pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) sekiranya agihan kerusi pilihan raya diuruskan dengan teratur.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, isu utama yang menyebabkan berlakunya polemik politik antara parti-parti Melayu berkenaan ketika ini hanyalah disebabkan rundingan agihan kerusi pilihan raya sahaja.

Menurutnya, harapan besar Pas adalah demi memastikan semua parti-parti dalam kerajaan PN akan bertanding secara satu lawan satu dan parti itu bersedia berunding secara berhemah bagi tujuan itu.

“(Faktor) polemik parti-parti yang mentadbir (kerajaan PN) masih berlaku adalah disebabkan kerajaan PN adalah kerajaan yang dibangunkan bersama. (Isu) yang menjadi polemik, insya-ALLAH kita akan uruskan.

“Harapan Pas pada PRU15 adalah satu lawan satu, (parti-parti Melayu) tidak berlaku (pertembungan) tiga penjuru. Kita akan berunding secara berhemah.

“Isunya (rundingan) pembahagian kerusi (pilihan raya) sahaja. Kalau kita urus secara teratur, Insya-ALLAH kita akan atasinya,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Di sebalik dilema Pas untuk memilih rakan gandingan politik pada PRU15 sama ada PN atau MN, parti itu sebenarnya berkedudukan terbaik menjadi kingmaker bagi kedua-dua pihak.
Beliau berkata demikian bagi mengulas harapan Pas terhadap pengekalan kerajaan PN pada PRU15 dan tahun-tahun mendatang.

Sementara itu, Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air turut mendedahkan satu mesyuarat jawatankuasa Muafakat Nasional (MN) telah diadakan di antara Pas dan UMNO pada Rabu.

“Pas putuskan untuk meneruskan (koalisi) MN, pada masa sama akan berada dalam jawatankuasa bersama dalam (koalisi) PN.

“Pas akan bincang (dengan semua pihak) untuk selesaikan masalah bersama bagi menghadapi PRU15,” katanya.

Tuan Ibrahim turut memberi bayangan PRU15 berkemungkinan akan diadakan pada penghujung tahun ini sekiranya lengkuk kes jangkitan Covid-19 mulai melandai.

“Jadi semua parti kena bersedia, bagi pihak Pas kita sudah arahkan jentera untuk bersiap sedia,” katanya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker