Dua renjer maut dalam serangan



Sebaran :

NARATHIWAT: Dua anggota renjer maut, manakala seorang lagi rakan mereka cedera parah dalam letupan bom paip dan insiden berbalas tembakan di kampung di Ra-ngae, Narathiwat yang terletak di selatan Thailand.

Ketua Polis Ra-ngae, Piyapak Thongpanlertkun, berkata dalam kejadian pada 6.50 pagi (waktu tempatan) itu, 16 anggota renjer yang sedang berehat di dalam khemah selepas melakukan rondaan di kawasan tersebut dikejutkan dengan beberapa letupan.

Beliau berkata sekumpulan individu kemudian mula melontarkan bom paip buatan sendiri dan melepaskan tembakan ke arah khemah itu.



“Insiden berbalas tembakan antara renjer dan kumpulan penyerang berlanjutan kira-kira lima minit sebelum kumpulan penyerang beredar dari tempat kejadian.

“Seorang renjer meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua lagi cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Ra-ngae. Seorang lagi disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital,” katanya ketika dihubungi di sini.

 

Ibu tentera yang maut menunggu untuk menuntut mayat anaknya selepas serangan di Narathiwat, pagi tadi. - Foto AFP
Ibu tentera yang maut menunggu untuk menuntut mayat anaknya selepas serangan di Narathiwat, pagi tadi. – Foto AFP

 

Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati kumpulan penyerang terdiri daripada sekurang-kurangnya 15 individu.



“Kumpulan itu turut melarikan tiga laras senapang milik anggota renjer yang sedang bertugas,” katanya sambil menambah pasukan keselamatan sedang mempergiat usaha untuk menjejaki suspek yang terbabit. – BERNAMA


Sebaran :


Leave a Reply