Ratu Balqis alami ‘Mimpi Sedih’ sebelum berhijab



Sebaran :

KUALA LUMPUR: Mengalami mimpi sama selama selama tiga hari membuatkan penyanyi, Ratu Balqis, memutuskan untuk berhijrah dan mendekatkan dirinya dengan Allah SWT.

Bekas peserta program realiti, Mentor Milenia 2017 itu enggan mendefinisikan ia sebagai mimpi buruk, tetapi mengakui memberi kesan yang mendalam.

“Saya didatangi mimpi sama selama tiga hari berturut-turut, tetapi bukanlah mimpi menakutkan. Saya bermimpi ada sesuatu yang mahu disampaikan, seolah-olah Tuhan memberi petunjuk pada saya.



“Jujurnya, saya alami mimpi hingga saya sedih dan tertekan. Saya jadi putus asa dengan diri sendiri, apatah lagi memikirkan berjauhan dengan anak. Mimpi yang hadir seperti bersangkut paut dengan apa yang pernah berlaku dalam hidup saya.

“Jadi, Umi menasihatkan saya supaya tidak meninggalkan solat, belajar menutup aurat dan mendekatkan diri pada Allah kerana benda tak elok ini susah nak lekat apabila sentiasa dalam wuduk,

“Daripada saya melakukan kerja mengarut, saya putuskan belajar solat dan mendekat dirikan dengan Allah,” katanya kepada BH Online.



Bagaimanapun, penyanyi berusia 22 tahun ini tidaklah menyatakan dirinya berhijrah sepenuhnya, kerana dia masih dalam proses pembelajaran.

“Saya tak berani kata berhijab terus kerana saya masih dalam tempoh belajar. Semoga hati saya kuat untuk terus istiqamah, jadi saya minta semua mendoakan baik-baik untuk saya.

“Saya lebih tenang selepas berhijab. Tak kisah apa sahaja dugaan dan masalah yang datang, saya percaya semuanya ada jalan penyelesaian. Saya hanya bertenang dan banyak mendekatkan diri dengan Allah. Apabila kita sentiasa dekat dengan-Nya, apa yang kita rasa susah itu semuanya ada jalannya,” katanya.



 

Ratu Balqis alami mimpi, seolah-oleh memberi petunjuk sebelum bertudung. - Foto IG Puteri Balqis
Ratu Balqis alami mimpi, seolah-oleh memberi petunjuk sebelum bertudung. – Foto IG Puteri Balqis

 

Menerusi laman sosial Instagram (IG), Balqis memadam gambar lamanya yang tidak menutup aurat. Tindakannya itu menerima komen positif peminat yang turut memuji penampilan barunya itu.

Kata Balqis, komen positif itulah yang membuatkan dirinya kian selesa membawakan imej berhijab.

“Saya tak sangka imej baru ini mendapat banyak maklum balas positif. Alhamdulillah, rata-rata memberikan komen dan mendoakan yang baik-baik untuk saya. Itu yang membuatkan hati saya tersentuh apabila membacanya.



“Sebenarnya, niat nak bertudung ini sudah lama ada, tetapi hati manusia sering berbolak-balik. Saya fikir sama ada imej ini sesuai atau tidak. Ini kerana orang kenal saya dengan lagu rancak, jadi saya banyak berfikir orang boleh terima atau tidak saya membawakan imej baru,” katanya.

Penghijrahannya itu juga tidaklah membawa maksud penyanyi lagu Buaya ini meletakkan noktah pada karier nyanyiannya.

Sebaliknya, kata Balqis, dia masih mahu menyanyi, cuma mahu mengambil masa untuk dirinya sendiri.



“Sekarang saya mahu fokus pada diri sendiri sebab saya merancang mengusahakan beberapa perniagaan. Mungkin saya akan menghasilkan koleksi baju untuk Aidilfitri.

“Insya-Allah, saya akan kembali menyanyi, tetapi saya perlu mencari lagu yang bersesuaian dengan imej bertudung,” katanya yang turut merancang menghasilkan untuk anaknya, Hamka.


Sebaran :


Leave a Reply