KKM jawab teori konspirasi Jarum ‘Picagari’

Sebaran :

 

Tak sampai sehari selepas Muhyiddin Yassin menerima suntikan vaksin Covid-19 pertamanya, teori konspirasi timbul berhubung warna hab picagari yang digunakan untuk menyuntik perdana menteri itu.

Mereka yang menyebarkan teori itu menyorot bahawa picagari yang digunakan untuk mengambil cecair dari botol vaksin Pfizer-Biontech mempunyai hab biru sedangkan picagari yang digunakan untuk menyuntik perdana menteri mempunyai hab berwarna kuning.

Kementerian Kesihatan menjelaskan bahawa ini kerana sekiranya picagari untuk menyedut vaksin dari botol – yang mempunyai jarum lebih besar – digunakan untuk suntikan, ia lebih menyakitkan.

“Picagari warna yang berbeza bermaksud ukuran jarum yang berbeza.

“Picagari (biru) yang digunakan untuk menyedut dari botol lebih besar untuk memastikan pengekstrakan lancar.

“Jarum yang lebih kecil (merah atau jingga) untuk inokulasi (suntikan) akan mengurangkan rasa sakit dan lebam,” katanya, sambil menambah bahawa menggunakan jarum yang berbeza juga mencegah pencemaran silang antara pesakit.

Kementerian memberi jaminan bahawa menukar jarum tidak mempengaruhi vaksin di dalam picagari.

“Vaksin yang diambil dari botol dan diberikan kepada pesakit tidak berubah,” katanya.

Semasa Muhyiddin menerima suntikan, jururawat Lina Ibrahim dilihat menyedut vaksin dari botol ke dalam picagari suntikan menggunakan jarum dengan hab biru.

Dia kemudian menukar jarum menjadi kepada yang berwarna jingga sebelum menyuntik ke lengan kiri Muhyiddin.

Sebelum ini, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin juga terpaksa menjawab teori konspirasi yang mendakwa bahawa vaksin itu mengandungi mikrocip kawalan minda atau merupakan rancangan oleh Illuminati untuk menubuhkan “tata dunia baru”.

Selain Muhyiddin, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dan empat pegawai kementerian – Dr Tan Yee Ling, Sheilla Mellissa Sikin, Khairul Asraf Mohd Yasin, dan Clement Marai Francis – juga diberi suntikan vaksin pertama mereka.

Vaksin Pfizer-BioNTech hadir dalam dua dos, dengan suntikan diberikan selang 21 hari.

Fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 kerajaan bermula semalam. Fasa itu menyasarkan untuk menyuntik 500,000 petugas barisan hadapan perubatan dan bukan perubatan.

Vaksinasi ditawarkan secara percuma kepada semua yang mendaftar, tanpa mengira status kewarganegaraan.

Pendaftaran boleh dilakukan melalui aplikasi telefon bimbit MySejahtera.


Sebaran :

Leave a Reply