DBKL, pemaju rujuk Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Taman Rimba Kiara

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan sebuah syarikat pemaju merujuk kepada Mahkamah Persekutuan bagi mencabar keputusan mahkamah lebih rendah yang menggagalkan rancangan mereka untuk membangunkan Taman Rimba Kiara.

Mahkamah Rayuan pada 27 Jan membuat keputusan yang memihak kepada penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI) yang memohon pembatalan pembangunan projek dicadangkan oleh kerajaan, merangkumi blok pangsapuri 29 tingkat dengan 350 unit rumah mampu milik, lapan blok pangsapuri servis, dan lapan tingkat kemudahan tempat letak kenderaan.

Projek itu sepatutnya dilaksanakan oleh pemaju hartanah Malton Bhd, melalui anak syarikatnya Memang Perkasa Sdn Bhd, dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), sebuah yayasan yang dipengerusikan oleh menteri wilayah persekutuan.

Peguam yang mewakili penduduk, Alliff Benjamin Suhaimi, berkata mereka menerima notis mengenai permohonan izin merayu keputusan mahkamah itu awal minggu ini

Alliff berkata, penduduk rumah panjang di kawasan Taman Rimba Kiara juga mengemukakan permohonan izin merayu. Kumpulan itu termasuk dalam semakan kehakiman penduduk TTDI.

Mahkamah tertinggi menetapkan 25 Mac untuk pengurusan kes permohonan izin merayu oleh DBKL, YWP dan Memang Perkasa.

Mahkamah rayuan telah membenarkan rayuan penduduk TTDI setelah memutuskan bahawa ada “kesilapan boleh dirayu yang memerlukan campur tangan mahkamah rayuan”.

Hakim Mary Lim, yang mengetuai panel, memutuskan bahawa datuk bandar mempunyai kewajipan berdasarkan undang-undang lazim untuk memaklumkan dan mendengar bantahan penduduk berkenaan apa-apa cadangan pembangunan di bawah bidang kuasanya.

“Perancangan bandar hanya akan efektif sekiranya penduduk diajak berkonsultasi dan didengar sebelum keputusan mengenai cadangan pembangunan dibuat,” kata beliau.

Lim juga berkata, datuk bandar perlu membuktikan bahawa majlis setempat telah mematuhi semua undang-undang dan peraturan sebelum membuat keputusan mengenai pembangunan.

“Keputusannya harus disampaikan kepada penduduk ketika ia dibuat. Masa sangat penting bagi penduduk agar mereka dapat maklum dan meneruskan tindakan selanjutnya,” kata beliau.

Mengenai kewajaran “memindahkan penduduk rumah panjang yang tinggal di sekitar Taman Rimba Kiara” yang disebut oleh datuk bandar ketika meluluskan arahan pembangunan tersebut, Lim berkata, mahkamah tidak dapat bersetuju dengan alasan tersebut.

“Kami tidak melihat bagaimana masalah penduduk rumah panjang dapat dipertimbangkan oleh datuk bandar. Itu adalah warisan politik.

“Pembangunan yang dicadangkan ini sebenarnya adalah usaha sama komersial antara YWP dan Memang Perkasa,” kata beliau.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker