Ambil 9 jenis ubat, warga emas serik di ICU 24 hari kerana Covid-19
MELAKA: Pakcik K (bukan nama sebenar) dari Tanjung Kling di sini adalah salah seorang daripada pesakit Covid-19 warga emas yang “terselamat” selepas dijangkiti Disember lalu.
Pakcik K yang berusia 89 tahun itu adalah antara 252,623 pesakit yang telah sembuh daripada Covid-19 yang telah meragut 1,062 nyawa di negara ini sehingga Isnin.
Berkongsi pengalamannya selama 24 hari di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka, Pakcik K mengingatkan dirinya dan masyarakat agar tidak mengambil mudah wabak yang “menyerang” seluruh dunia ketika ini.
Oleh kerana bimbang dia tergolong dalam kalangan yang berisiko tinggi serta berada di ICU, Pakcik K akur sampel darahnya diambil setiap hari serta terpaksa mengambil sembilan jenis ubat pagi dan petang untuk memastikan dia sembuh.
Detik cemas Pakcik K bermula Disember lalu ketika 32 ahli keluarganya pulang ke kampung bagi meraikan ahli baharu dalam keluarga setelah salah seorang daripada cucunya yang berkahwin dan tinggal di Negeri Sembilan kembali ke Melaka semasa pergerakan merentas negeri dibenarkan oleh kerajaan.
“Salah seorang anak lelaki saya baru dapat menantu dan ketika majlis perkahwinan berlangsung beberapa bulan sebelumnya, kami semua tidak dapat hadir kerana larangan merentas negeri.
“Selepas kembali dibenarkan merentas negeri, mereka semua bersepakat untuk menyambut kedatangan ahli keluarga baharu dengan membuat jamuan kecil-kecilan di rumah saya di Tanjung Kling ini tanpa mengetahui salah seorangnya telah dijangkiti Covid-19,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini.
Malaysia catat 6 kematian setakat ini, jumlah di ICU meningkat
Pakcik K berkata, selepas tiga hari ahli keluarganya pulang ke rumah masing-masing, salah seorang anaknya mula demam dan membuat saringan Covid-19 sebelum disahkan positif.
Susulan itu, semua ahli keluarganya turut menjalankan saringan Covid-19 dengan 10 daripada mereka, termasuk dirinya, disahkan positif manakala 18 yang lain terpaksa menjalani kuarantin kendiri.
“Mereka ditempatkan di beberapa hospital di selatan tanah air manakala saya sendiri dimasukkan di ICU Hospital Melaka selama lebih tiga minggu berikutan sudah berusia dan mempunyai penyakit darah tinggi.
“Ketika berada dalam wad, saya terpaksa makan sembilan jenis ubat selain darah turut diambil setiap hari oleh pihak hospital yang memantau tahap kesihatan setiap pesakit Covid-19.
“Hanya Tuhan yang tahu debaran yang saya rasai setiap hari memandangkan saya dalam kategori berisiko tinggi, selain tidak dapat menghubungi ahli keluarga yang risau dengan keadaan saya,” katanya.
Bagaimanapun, dia bersyukur apabila Malaysia menerima kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech Ahad lalu.
“Tidak sabar rasanya untuk menerima suntikan vaksin berkenaan namun saya tahu ada jadual yang perlu dipatuhi untuk menerima suntikan itu.
“Apa yang saya mampu lakukan sebelum menerima vaksin adalah mengamalkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka ketika berada di luar rumah serta menggunakan pencuci tangan.
“Saya sudah serik berada di hospital. Cukuplah sekali dijangkiti Covid-19,” katanya.
“Macam Ada Tangan Lagi.” -Luah Pakcik Hilang Tangan Dilanggar Treler Kepada Ebit Lew
You must be logged in to post a comment.