Malaysia catat 6 kematian setakat ini, jumlah di ICU meningkat · MYKMU.NET

Malaysia catat 6 kematian setakat ini, jumlah di ICU meningkat

Share

Malaysia mencatatkan enam kematian akibat jangkitan Covid-19 setakat ini.

Ia berdasarkan pengesahan Kementerian Kesihatan dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak hari ini.

Selain itu, perkembangan terbaru juga menyaksikan jumlah pesakit yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) meningkat kepada 37, dengan 23 daripada mereka memerlukan alat bantuan pernafasan.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata mangsa keempat ialah pesakit kes-238 yang merupakan seorang lelaki berusia 50 tahun.

Pesakit itu, yang dimasukkan wad di Melaka pada 12 Mac lalu, merupakan antara yang mempunyai kaitan dengan kelompok perhimpunan tabligh.

JPBN Sarawak pula memaklumkan dua lagi kematian pesakit di negeri itu, melibatkan wanita berusia 79 tahun dan anak perempuannya yang berusia 40 tahun.

JPBN Sarawak berkata, mangsa pertama meninggal dunia pada 18 Mac lalu, namun laporan berkenaannya lambat diterima kerana hospital swasta yang merawatnya menunggu keputusan ujian daripada makmal swasta di Kuala Lumpur.

Mangsa kedua pula meninggal pada pukul satu tengah hari, hari ini.

Sementara itu Noor Hisham turut memaklumkan terdapat 153 kes jangkitan baru di negara ini, menjadikan jumlah keseluruhan menjadi 1,183.

Sebanyak 90 daripada 153 kes baru itu mempunyai kaitan dengan perhimpunan tabligh yang diadakan di masjid di Sri Petaling, Kuala Lumpur hujung bulan lalu.

Pada 20 Mac lalu, Menteri Pertahanan Ismail Sabri menggesa baki 4,000 peserta perhimpunan tabligh masjid Seri Petaling tampil menjalani ujian Covid-19.

Ismail berkata polis telah mengenal pasti individu-individu yang telah menghadiri perhimpunan itu pada 28 Februari lalu.

Perhimpunan tabligh yang diadakan di ibu kota itu dikatakan dihadiri 16,000 peserta, dengan 14,500 daripada jumlah itu merupakan warga tempatan.

Mkini

Leave a Reply