Ibu mengandung masih belum boleh terima vaksin COVID-19 – Dr Adham

PUTRAJAYA: Golongan ibu mengandung tidak digalakkan untuk menerima vaksin COVID-19 kerana data yang diperolehi berhubung faktor keberkesanan dan keselamatan daripada pengeluar belum diperoleh.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata pihaknya sedia maklum Pfizer telah memulakan ujian klinikal untuk kategori masyarakat berkenaan.

Jelas beliau lagi, Kementerian akan terus mengguna pakai garis panduan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 yang beliau dan Menteri Penyelaras Khairy Jamaluddin pengerusikan bersama, selaras dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Kita masih menetapkan lagi ibu mengandung tak diberi vaksinasi, masih terus terpakai kerana kajian Pfizer (baru lagi dilaksanakan) dan kita belum lagi dapat maklumat daripada mereka,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian kepada sidang media bersama Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin selepas menghadiri program Simulasi Pemberian Vaksin COVID-19, di Putrajaya hari ini.

Pada 19 Februari lepas, media antarabangsa memetik pengumuman Pfizer bahawa mereka akan melaksanakan ujian klinikal vaksin kepada 4,000 ibu mengandung berusia antara 18 hingga 40 tahun, dan mempunyai usia kandungan antara 24 hingga 34 minggu.

Menurut kenyataan itu, sebahagian sukarelawan terbabit akan menerima dua dos vaksin Pfizer, dan sebahagian lagi akan menerima ‘dummy shots’.

Mengulas mengenai skim pampasan bagi mereka yang mengalami alahan, Dr Adham, berkata, skim yang disebut sebagai Skim Mudarat Vaksinasi sedang dalam penelitian di peringkat jemaah menteri.
“Kita akan umumkan apabila sudah ada keputusan akhir mengenai jenis pampasan ini,” katanya lagi.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker