MKN tolak permohonan Melaka untuk rentas daerah

 

AYER KEROH: Kerajaan negeri akur dengan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang menolak permohonan kelonggaran merentas daerah di Melaka seperti dikemukakan, baru-baru ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, berkata pihaknya menerima keputusan itu dengan hati terbuka dan menyifatkan ia sebagai usaha untuk memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19 sekali gus menjamin keselamatan dan kesihatan orang awam.

“Kita terpaksa menunggu sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tamat pada 4 Mac ini dan berharap keadaan di negeri dan negara kita kembali pulih,” katanya selepas melawat Projek Tanaman Cili Menggunakan Teknologi Hijau dikenali sebagai GrasiCili di Bandar Hijau, di sini hari ini.

Baru-baru ini, kerajaan negeri mengemukakan permohonan kepada MKN untuk membolehkan penduduk di negeri ini merentas daerah sebagai satu daripada usaha menghidupkan semula sektor pelancongan yang `malap’ akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

Sektor pelancongan menyumbang kepada 48 peratus kepada ekonomi negeri.

Dalam perkembangan lain, Sulaiman berkata, kerajaan negeri sudah bersedia untuk menerima ketibaan fasa pertama vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech di Melaka, esok.

Katanya, vaksin terbabit diterima oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasim Hasan dan akan ditempatkan di Hospital Melaka dengan kawalan ketat oleh pasukan keselamatan.

“Bagi fasa pertama 11,000 vaksin akan mula diberikan kepada golongan petugas barisan hadapan bermula 2 Mac hingga 30 April ini,” katanya.

Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam dijangka menjadi individu awal yang akan menerima vaksin Pfizer-BioNTech minggu depan dan disusuli Ketua Menteri, anggota EXCO serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Sebanyak 600,000 vaksin akan diperoleh Melaka bagi membendung penularan pandemik berkenaan.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker