Isteri cedera dibelasah, bayi dicampak
Gara-gara salah faham, seorang wanita cedera teruk dibelasah suami sendiri manakala salah seorang anaknya turut dipukul di rumah mereka di Taman Tun Teja, Rawang, di sini Rabu lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, bayi mereka berumur setahun lebih turut dicampak ke tilam oleh suspek.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, hasil siasatan mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dan suspek.
“Akibat pergaduhan itu, suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan bertindak agresif telah memukul mangsa menggunakan tangan, kaki dan juga batang besi buaian.
“Suspek kemudiannya merotan anak sulung yang berusia enam tahun di belakang badan termasuk mencampak anak bongsu ke tilam,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Ekoran kejadian itu, jelasnya, mangsa yang tidak bekerja itu mengalami kecederaan dan bengkak di beberapa anggota badan termasuk di perut dan kepala.
Ujar beliau, polis telah memberkas suspek yang berusia 34 tahun pada hari yang sama sebaik menerima laporan kejadian daripada mangsa.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumahtangga. K! ONLINE.
Cabul anak hingga hamil, lelaki maut dibelasah tahanan lain selepas baru sehari masuk penjara