C4: Macam mana tapak sisa Lynas dibina tanpa EIA terhadap kompleks pelupusan

 

NGO Center to Combat Corruption and Cronyism (C4) mempersoalkan kesahihan penilaian kesan alam sekitar (EIA) untuk tapak pelupusan sisa Lynas Malaysia di Kuantan, Pahang.

Ini kerana EIA masih belum dibuat ke atas tapak pelupusan sisa berjadual industri pelbagai kategori (MCISWDS), tempat kemudahan pelupusan tetap (PDF) Lynas akan diletakkan.

“Jabatan Alam Sekitar (JAS) tidak boleh setuju EIA untuk PDF Lynas sebelum EIA dijalankan untuk keseluruhan MCISWDS,” kata C4 pada satu kenyataan hari ini.

MCISWDS akan dibina di atas sebidang tanah seluas 202.35 hektar, bersamaan saiz 283 padang bola, yang telah dikeluarkan dari kawasan warta Hutan Simpan Kekal Bukit Kuantan.

PDF Lynas hanya akan merangkumi 58.25 hektar atau 29 peratus dari keseluruhan tapak pelupusan sisa pelbagai kategori itu.

Masih belum jelas bentuk sisa apa lagi yang akan disimpan di MCISWDS.

Semalam Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh mengatakan bahawa tanah di mana MCISWDS masih dikategorikan sebagai kawasan sensitif alam sekitar (ESA) Peringkat 1.

Semalam, Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata tapak MCISWDS itu dibangunkan di tempat yang masih dikategorikan kawasan sensitif alam sekitar (ESA) Peringkat 1.

 

Kata Fuziah, bawah garis panduan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, kawasan ESA tidak boleh dibangunkan. Status tanah hanya boleh ditukar melalui rundingan awam.

Justeru itu, jelasnya konsultasi awam mengenai kemudahan simpanan kekal sisa radioaktif Lynas (PDF) adalah tidak sah.

Sebelum ini syarikat nadir bumi terbabit dan kerajaan negeri Pahang menafikan PDF akan berada di kawasan tadahan air.

Bagaimanapun, laporan kajian kesan alam sekitar (EIA) bercanggah dengan kenyataan Lynas dan kerajaan negeri, serta mendapati PDF itu terletak di kawasan tadahan air Sungai Riau.

PDF itu untuk penyimpanan kekal sisa toksik daripada kilang Lynas Malaysia di Gebeng, Kuantan.

Pemprosesan bahan nadir bumi di kemudahan itu menghasilkan sisa toksik, termasuk residu sisa penulenan air larut lesap (WLP) yang radioaktif.

Walaupun sisa itu didakwa mempunyai radioaktiviti yang rendah, penimbunannya selama bertahun-tahun menimbulkan kebimbangan.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini gagal dalam usahanya untuk menghantar pulang sisa radioaktif tersebut ke Mount Weld di Australia Barat, tempat nadir bumi asli dilombong.

Ketika PH menjadi pembangkang, gabungan itu telah menyokong tunjuk perasaan membantah kemudahan tersebut.

Bagaimanapun, sebagai sebahagian daripada syarat pelesenan barunya, Lynas Malaysia bersetuju untuk memindahkan operasi pemecahan dan larut lesap (cracking and leaching), yang menghasilkan sisa radioaktif, balik ke Australia Barat.

Leave a Reply