Penerbangan ihsan bawa pesakit strok ke hospital

Kuantan: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melakukan penerbangan ihsan membawa seorang pesakit dari Pulau Tioman, Rompin ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, hari ini.

Pengarah APMM Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud berkata, pesakit itu, Kamarolzaman Ismail, 70, yang menghidap angin ahmar dan sawan perlu segera ke hospital untuk rawatan kerana berkemungkinan mengalami serangan susulan.

“Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Kuantan menerima panggilan daripada Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman pada 7.30 pagi memaklumkan keadaan pesakit itu.

“Sehubungan itu, helikopter jenis Agusta AW139 milik Maritim Malaysia berlepas dari Stesen Udara Maritim Subang (SUMS) dan tiba di Pulau Tioman pada 11.45 pagi untuk mengambil pesakit dan menerbangkannya ke Kuantan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Amran berkata, pesawat itu selamat mendarat di padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), di sini pada 12.30 tengah hari dan diserahkan kepada petugas kesihatan sebelum dibawa ke HTAA menggunakan ambulans.

Katanya, penerbangan ihsan itu diketuai juruterbang, Leftenan Komander Maritim Mohamad Zali Yusoff dan dibantu pembantu juruterbang, Leftenan Madya Maritim Syahril Annuar Osman serta dua kru udara.

“Penerbangan ihsan ini adalah yang kedua tahun ini selepas Januari lalu yang membabitkan dua mangsa dari Pulau Tioman yang memerlukan rawatan segera di hospital,” katanya.

Leave a Reply