‘Detektif Lim’ Gerak Khas Bernikah, Menteri Agama Ucap Tahniah

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri mendoakan pelakon drama bersiri kepolisian terkenal, Gerak Khas, Farid Amirul Hisham Abdullah yang bernikah dengan pasangannya berbahagia dan dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah.

Dalam hantaran yang dikongsi di akaun media sosialnya, Zulkifli berkata, beliau terserempak dengan pasangan ini ketika selesai berurusan di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pada Selasa.

Pelakon drama bersiri Gerak Khas yang terkenal dengan watak Detektif Lim, Mohd Farid Amirul Hisham Wu Abdullah, 55, diijabkabulkan dengan wanita pilihan, Norhayati Abdullah, 39, di sini, pagi semalam.

Farid bersyukur majlis akad nikah lancar biarpun terpaksa berdepan dugaan kecil.

“Lebih membuatkan saya terharu apabila kami terserempak dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di JAWI.

“Beliau sempat mendoakan saya dan isteri,” katanya ketika dihubungi BH Online.

Memilih bernikah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Farid terpaksa berdepan beberapa dugaan.

“Mengikut perancangan awal, abang ipar yang menetap di Kelantan sepatutnya menjadi wali.

“Namun, disebabkan PKP dan larangan merentas negeri, kami terpaksa membuat rancangan lain. Kami meminta abang ipar yang menetap di sini, untuk menjadi wali.

“Disebabkan itu, kami terpaksa menghantar surat permohonan nikah yang baharu,” katanya.

Bagaimanapun, kata Farid, abang ipar itu pula cedera akibat terjatuh dari pokok, sebelum majlis pernikahan.

“Pada mulanya, kami fikir ingin teruskan sahaja rancangan asal membawa abang ipar di Kelantan menjadi wali.

“Namun, memikirkan perlu isi borang baharu dan prosedur agak leceh, kami teruskan juga. Kami terpaksa meminta kebenaran JAWI membawa seorang lagi tetamu untuk memapah abang ipar,” katanya.

Bukan itu sahaja, Farid berkata, tarikh pernikahan mereka terpaksa dipercepatkan tiga hari.

“Jika tidak, mungkin impian bernikah tahun ini terpaksa ditangguhkan ke tarikh yang tidak diketahui berikutan tiada kekosongan slot akad nikah akibat PKP.

“Agak kelam kabut apabila JAWI memaklumkan tarikh pernikahan terpaksa dipercepatkan.

“Selain itu, kami juga dikehendaki menjalani ujian calitan di hospital kerajaan dan tidak dibenarkan melakukannya di hospital swasta.

“Ujian calitan pula perlu dilakukan dalam tempoh tiga hari, jika tidak laporan dianggap tidak sah,” katanya.

Namun, Farid menganggap semua itu sekadar dugaan dan tidak tertekan.

“Bagi saya, tidak perlu bebankan fikirkan dengan terlalu memikirkan rintangan. Apa yang penting, majlis pernikahan lancar,” katanya.

Berkongsi detik perkenalan dengan isteri, Farid memberitahu, dia mengenali Norhayati ketika melakukan penggambaran di tempat pasangannya itu bekerja.

Farid berkata, sikap isteri yang penyabar, memahami dan tidak banyak kerenah menambat hatinya.

Farid juga tidak menganggap keputusan berkahwin pada usia 55 tahun sebagai terlambat, sebaliknya percaya ketentuan Tuhan.

“Semua ini ketentuan Allah. Saya sentiasa berpegang kepada ayat di setiap kesempitan mungkin ada kemudahan.

“Pada mulanya saya mengaku, ada terfikir, andai ada rezeki menimang zuriat, anak masih kecil. sedangkan umur semakin meningkat.

“Tapi, lama-kelamaan saya malas hendak fikir lagi. Saya tidak mahu serabut pemikiran dengan perkara-perkara ‘toksik’.

“Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya,” katanya yang belum memutuskan mahu menganjurkan majlis resepsi selepas PKP tamat.

Farid Amirul atau lebih dikenali sebagai ‘Detektif Lim’ selamat bernikah dengan pasangan pilihannya di JAWI.

Gerak Khas yang diterbitkan oleh Datuk Yusof Haslam yang juga pemilik syarikat produksi Skop Productions merupakan antara drama yang cukup popular ketika ditayangkan di RTM.

 

Drama bersiri itu yang kini ditayangkan di sebuah stesen televisyen swasta sebelum ini turut dibintangi oleh Datuk AC Mizal, Abby Abadi, Deen Maidin selain Yusof Haslam, Erra Fazira, Norman Hakim dan ramai lagi.

Tahniah buat ‘Sub Inspektor Lim’

Diakhir perkongsian tersebut, Dr Zulkifli sempat berseloroh dengan mengatakan DCP Datuk Helmi dan Detektif Lingam tentunya berasa gembira dengan perkhabaran tersebut.

Justeru itu, ruangan komen di Facebook beliau telah dihujani dengan ucapan tahniah buat Farid Amirul dan isteri diatas pernikahannya itu.

 

Selamat pengantin baru

 

Semoga terus berbahagia hingga ke Jannah

 

Sumber: Dr Zulkifli Al Bakri

Leave a Reply