Calon SPM sedih peralatan hadapi peperiksaan hangus terbakar
ALOR SETAR: Berbaki kurang seminggu, namun segala kelengkapan dan buku rujukan untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pula hangus terbakar.
Demikian nasib Hazimah Abdul Halim, 17, yang bakal menduduki peperiksaan penting itu minggu hadapan apabila rumahnya musnah dalam kebakaran di Kampung Pegawai, Sungai Korok, di sini.
Semangatnya kini luntur selepas melihat semua barangan sekolah termasuk buku musnah.
Pelajar Sekolah Menengah Seberang Perak itu kini bergantung sepenuhnya kepada telefon pintar untuk mengulang kaji pelajaran selain berkongsi maklumat dalam sistem WhatsApp.
“Sekarang memang rasa sedih sangat dan menumpang di rumah orang,” katanya.
Dalam kejadian jam 3.40 petang Ahad lalu, 10 rumah di Kampung Pegawai, Sungai Korok, musnah dalam kebakaran menyebabkan 42 penghuni rumah berkenaan tinggal sehelai sepinggang.
Kesemua penghuni rumah berkenaan kini menumpang sementara di rumah jiran dan ahli keluarga kerana tiada tempat tinggal.
Sementara itu mangsa kebakaran, Norain Yosli, 34, berkata kejadian berlaku dengan pantas dan api menyambar rumahnya dengan cepat mengakibatkan dia sekeluarga tinggal sehelai sepinggang.
Jelasnya, suami serta empat anaknya kini menumpang sementara di rumah kakak ipar.
“Kerosakan rumah kalau ikut barangan boleh dianggarkan bernilai RM30,000.
“Saya tidak bekerja dan dapat bantuan kerajaan. Suami kerja ambil upah mesin rumput dan menyara empat orang anak.
“Sekarang menumpang di rumah kakak ipar, kalau boleh hendak minta rumah kerana itu yang paling penting,” ujarnya.
Dia turut berharap kerajaan negeri membantu untuk mereka mendapat tempat tinggal.
Sementara itu, Menteri Besar Kedah, Muhamad Sanusi Md Nor mencadangkan kesemua 10 keluarga mangsa kebakaran di Kampung Pegawai ditempatkan di Rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Alor Setar di Persiaran Hijau Kuning.
Jelasnya, perbincangan akan dilakukan dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Pejabat Daerah untuk membantu mangsa mendapatkan rumah terbabit dalam tempoh terdekat.
“Kita ada beberapa pilihan antaranya flat Kampung Kilat atau PPR Kampung Kilat Gemilang.
“Ia dibina selepas berlaku kebakaran juga, kalau masih ada kekosongan mungkin boleh dipertimbang. Ini kena dirujuk bahagian perumahan SUK kalau ada kekosongan.
“Kalau tidak ada kosong, kita tidak ada pilihan, selepas ni baru boleh saya rujuk,” katanya.
Jelasnya buat sementara, kesemua mereka akan ditempatkan sementara di Dewan Kedah India Association (KIA) tidak jauh dari lokasi kebakaran.
Dalam pada itu, Muhamad Sanusi turut menyampaikan sumbangan wang tunai dari kerajaan negeri RM1,000 kepada setiap 10 wakil keluarga yang terbabit dalam kebakaran untuk kegunaan mereka.-Awani
Wang tunai RM52,000 hangus terbakar