Kritikan Daim, Muhyiddin Perlu Hadam

Tun Daim Zainuddin

Tokoh wartawan, A Kadir Jasin, ‘menasihati’ Muhyiddin Yassin agar menghadamkan saranan bekas menteri kewangan Daim Zainuddin yang menegur kerajaan sekarang.

Kata A Kadir, perdana menteri juga perlu memberi tunjuk ajar kepada anggota kabinet Perikatan Nasional (PN) seperti dikritik Daim dalam temu bualnya dengan sebuah portal berita.

Jelas A Kadir, kritikan Daim itu ‘berbahaya’ kepada Muhyiddin kerana ahli politik veteran itu masih mempunyai pengaruh yang luas selain sebahagian orang Muhyiddin adalah “budak-budak Daim”.

“Jadi eloklah Muhyiddin baca, hadam dan faham teguran dan kritikan Daim itu.

“Cubalah kawal dan bagi tunjuk ajar kepada menteri-menteri beliau yang nampak belum ada arah tujuan walaupun sudah satu tahun pegang jawatan,” katanya dalam satu hantaran di media sosial pagi ini.

Terdahulu Daim berkata, kerajaan PN ketika ini dilihat tidak berfungsi dengan cekap serta terumbang-ambing mentadbir negara ketika menghadapi wabak Covid-19.

“Masalah ini diburukkan lagi apabila setiap kementerian bergerak secara bersendirian.

“Rakyat masih belum nampak walau satu contoh pun usaha sama membabitkan pelbagai kementerian dalam memerangi wabak ini – selain kehadiran anggota tentera di sekatan jalanraya,” katanya seperti dilaporkan FMT hari ini.

Daim turut menyoal tiadanya penyelarasan gerak kerja pentadbiran PN untuk menangani Covid-19. Misalnya, kata Daim, isu sambungan internet dan pembelajaran murid dari rumah.

Menurut A Kadir dengan apa yang berlaku sebelum ini Muhyiddin juga sepatutnya sedar bagaimana Daim “menyelamatkan ekonomi negara” sewaktu Malaysia dilanda krisis ekonomi.

Kali pertama katanya pada 1980-an sebelum Daim melakukannya sekali lagi ketika krisis mata wang Asia pada akhir 1990-an.

“Muhyiddin pun tentu tahu yang Daim memainkan peranan ‘menyelamatkan’ Pakatan Harapan (PH) pada saat-saat genting pada malam 9 dan pagi 10 Mei, 2018,” katanya.

Pada masa sama A Kadir berpendapat Muhyiddin patut berasa malu dengan apa yang berlaku di negara ini.

Kata bekas penasihat media kepada Dr Mahathir Mohamad itu menambah kegagalan menteri berfungsi dengan berkesan memberi kesan kepada imej negara.

“Kalau Muhyiddin dan konco-konconya tak malu kepada dunia, itu hal merekalah.

“Tapi rakyat jelata malu dan negara sedang menderita akibat rampasan kuasa yang mereka lakukan,” katanya lagi.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker