Bank Islam sasar 500,000 pelanggan aplikasi TheNoor

BANK Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) menyasarkan untuk meraih sehingga 500,000 pelanggan baharu menerusi pelantikannya sebagai bank rasmi untuk aplikasi TheNoor.

TheNoor ialah aplikasi gaya hidup Muslim yang dibangunkan oleh Noor Luminous Sdn Bhd (Noor Luminous) dan turut berperanan sebagai platform e-dagang.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, menerusi kerjasama itu, ia membolehkan pihaknya menyediakan pelbagai kemudahan dan produk perbankan Islam kepada ejen dan stokis Nilofa Group.

Katanya, ia termasuk pengurusan tunai, pembiayaan peribadi, kenderaan dan perumahan pada kadar istimewa serta pembiayaan perniagaan.

“Bank Islam menyasarkan untuk meraih seramai 500,000 pelanggan baharu dengan penawaran gerbang pautan kepada pelbagai produk dan perkhidmatan seperti pembiayaan runcit; perusahaan kecil dan sederhana (PKS); takaful; kad kredit dan debit serta pembukaan akaun dalam tempoh 12 bulan akan datang melalui aplikasi baharu ini.

“Pada masa sama, Bank Islam juga akan meneroka peluang untuk memperluaskan kerjasama bersama syarikat ini pada masa hadapan,” katanya.

Bank Islam baru-baru ini menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bersama Noor Luminous bagi menawarkan kemudahan dan produk perbankan Islam melalui aplikasi TheNoor.

Pemeteraian MoU berkenaan ditandatangani oleh Ketua Deposit dan Pengurusan Tunai Bank Islam, Mohd Noor Jab bersama Ketua Pegawai Teknologi Noor Luminous, Mohd Izzairi Yamin.

MoU itu disaksikan oleh Pengerusi Noor Luminous, Datuk Ahmad Tajuddin Idris; Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif Noor Luminous, Noor Neelofa Mohd Noor.

Aplikasi yang dilancarkan pada akhir bulan lalu menawarkan ciri khusus meliputi waktu solat, penentuan arah kiblat, pemain media serta terjemahan ayat-ayat suci al-Quran kepada lima bahasa (Melayu, Mandarin, Tamil, Inggeris dan Indonesia).-HM

Neelofa lancar aplikasi gaya hidup Muslim 2021

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker