Servis tindik dalam kereta undang kecaman
Budaya bertindik yang semakin popular dalam kalangan anak muda kini menyebabkan ada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menyediakan perkhidmatan yang murah tetapi tidak mengikut prosedur yang sepatutnya.
Baru-baru ini, terdapat beberapa klip video yang dimuat naik di laman sosial TikTok yang menunjukkan prosedur bertindik hanya dilakukan di dalam kereta sahaja bukan di dalam premis perniagaan.
Tindakan individu terbabit bagaimanapun mendapat kecaman daripada netizen yang kebanyakannya menyoal tahap kebersihan perkhidmatan yang disediakan.
Selain itu, netizen turut bimbang dan mendakwa perkhidmatan tersebut dijalankan tanpa mendapatkan kebenaran daripada mana-mana pihak berkuasa.
Dalam pada itu, netizen turut melahirkan rasa bimbang sekiranya peralatan yang digunakan untuk menindik tidak mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan dan tahap kebersihan peralatan itu sendiri.
Seorang netizen yang dikenali sebagai Aiman berkata, tindakan individu terbabit sangat tidak bertanggungjawab dan membahayakan kerana prosedur bertindik terutama di bahagian anggota seperti lidah perlu dilakukan oleh penindik profesional.
“Beraninya tindik orang macam itu sahaja dalam kereta? Tindik lidah bukan macam tindik di telinga, jika tersilap tertindik pada urat, teruk padahnya,” katanya.
Seorang lagi netizen berkata, dia berharap ada peralatan pembasmi kuman bagi alat-alat yang digunakan di dalam kereta individu tersebut.
“Kebersihan perlu diutamakan, terutama sekali di tengah musim Covid-19 ini. Fikir dahulu sebelum buat,” katanya. K Online
You must be logged in to post a comment.