Filem tempatan tawan dunia

KUALA LUMPUR: Selepas dua tahun diasaskan, Longhouse Films melangkah lebih jauh dengan menjalin kerjasama bersama pengarah filem pecah panggung, Paskal The Movie, Adrian Teh bagi menghasilkan filem aksi berjudul Bakara.

Filem yang akan memulakan penggambaran Jun depan, dirancang dibawa ke pasaran antarabangsa termasuk Amerika Syarikat (AS) dan China pada 2022.

Tidak hanya itu, syarikat produksi milik Jon Chiew itu akan tampil dengan beberapa judul lagi antaranya Ada Hutan yang bakal diarah pelakon, Hairul Azreen buat julung kalinya.

Menyusuli filem yang bakal dibintangi Zahiril Adzim itu adalah sitkom Malaysia My ‘Ofis’ yang membawa identiti tempatan ke pasaran antarabangsa.

Semua judul itu dijangka menjengah pasaran pada tahun ini.

Jon berkata, kerjasama syarikat penerbitannya dengan bakat tempatan bertunjangkan hasrat membangunkan industri perfileman Malaysia ke mata dunia.

Merangka strategi 2021 bagi pasaran global, Longhouse Films mengedarkan filem Monkey King : A Hero’s Journey to the West yang akan dilancarkan, Mei depan.

Dihasilkan pengasas Longhouse Films, filem animasi itu diarah bekas pereka animasi dari Disney, Chris Bradley dan pereka watak di Marvel Studio, Walter A McDaniel yang bertindak sebagai pengarah seni.

 

Pengurusan kanan Longhouse Films dari kiri Naib Presiden, Jet Chiew; Pengarah Kreatif, Foo Sing Choong; Jon; Pengarah Urusan, Dianne Tan dan Pengarah Eksekutif, Steve Tan. Foto Ihsan Longhouse Films
Pengurusan kanan Longhouse Films dari kiri Naib Presiden, Jet Chiew; Pengarah Kreatif, Foo Sing Choong; Jon; Pengarah Urusan, Dianne Tan dan Pengarah Eksekutif, Steve Tan. Foto Ihsan Longhouse Films

Naskhah lain yang turut di dalam pembikinan termasuklah program idola Korea, Transit Tour dan animasi The Legend of Er Lang serta siri romantis Dear Mayang Street.

Tambah Jon, Longhouse Films turut memainkan peranan penting dalam beberapa projek baharu termasuk salah satu sekuel filem, Hello Mr Billionaire.

“Senarai filem dalam pembikinan itu adalah bukti keupayaan dan kemampuan Longhouse Films menggalakkan perkembangan industri filem tempatan ke pentas antarabangsa.

“Dengan pengalaman bertahun-tahun dalam industri di luar negara, kami berhubung dengan pemain industri di seluruh dunia terutama China yang ang menguasai pasaran filem terbesar di dunia.

“Ini bagi memberikan kelebihan kepada kami untuk memperkenalkan kandungan dan bakat tempatan kepada penonton antarabangsa.

“Pada masa sama, mengangkat budaya tempatan ke luar negara,” katanya.

Berkongsi serba sedikit mengenai Longhouse Films, Jon berkata, syarikat itu digerakkan pemain berperingkat antarabangsa yang berpengalaman dan bersemangat tinggi.

“Ditubuhkan pada 2019, Longhouse Films memperoleh namanya daripada rumah panjang Sarawak yang melambangkan watak dan peranan berbeza di bawah satu bumbung.

“Nama ini juga melambangkan melambangkan identiti saya sebagai anak Sarawak,” katanya.

Jon memiliki pengalaman bekerja dengan studio antarabangsa seperti 20th Century Fox, Universal Pictures dan Sony Pictures.

Selepas mencipta nama di industri filem di China selama 23 tahun, kini tiba masanya Jon berkongsi kepakaran dengan penggiat seni tempatan.

Selain itu, Jon mengejar misinya membawa industri kreatif Malaysia ke tahap antarabangsa.

Longhouse Films juga percaya peningkatan penstriman video bakal menjadi prospek masa depan industri filem berikutan impak pandemik COVID-19.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker