[VIDEO] Al-Fatihah: Pakcik Paklong Rojak Viral Dah Meninggal Dunia “Tiada Lagi Aksi ‘Hempas’ , Tekan Buah Sampai Padat “

KEBAIKAN seseorang sama ada kecil atau besar, pasti akan diingati dan menjadi sebutan ramai walaupun tuan punya badan sudah tiada.

Begitulah kisah seorang peniaga rojak di Kuantan, Pahang ini yang dikenang kerana sikap ikhlas dan pemurahnya ketika berniaga rojak buah di pasar malam.

Peniaga rojak warga emas itu pernah viral pada penghujung tahun 2019 selepas video aksinya ‘menghempas-hempas’ bekas rojak dan menekan hirisan buah-buahan sehingga padat, dikongsikan seorang pelayar di media sosial.

Sudahlah padat dengan hirisan buah-buahan, malah rojak buah pula dijual dengan harga yang cukup murah iaitu RM5 sebekas.

Namun siapa sangka, berita terbaharu yang dikemas kini oleh seorang pelayar lain di bawah perkongsian tersebut, membawa perkhabaran duka apabila peniaga tersebut disahkan sudah menghembuskan nafas terakhir pada awal Februari.

“Untuk makluman semua, pakcik ni baru sahaja meninggal dunia. Minta sedekahkan Al-Fatihah buat arwah Paklong,” tulis pelayar dengan akaun @sitisuaimii di Twitter.

Perkongsian tersebut yang sehingga kini meraih 24,500 retweet turut dibanjiri dengan komen netizen yang rata-ratanya terkesan dengan pemergian peniaga berkenaan, malah ramai yang berkongsi pengalaman sebagai pelanggannya sebelum ini.

“Dulu aku selalu singgah beli burger isteri dia buat dan rojak yang dia buat. Dia jual murah je, serius sedap. Lama lepas tu tak nampak dah sejak PKP sampai la tahu dia sakit, ini pula dia dah tak ada. Allahu… moga syurga buatnya,” tulis seorang pelayar.

“Semoga syurga buat arwah, kerana telah menggembirakan ramai orang dengan limpahan rojak. Amin,” komen seorang pelayar lain pula.

Ketika berkongsi cerita dengan mStar, pelayar yang berkongsikan berita sedih tersebut, Siti Nursuhadah Su’aimi berkata peniaga rojak yang digelarnya sebagai Paklong itu meninggal dunia akibat menderita kanser tulang.

Ujar wanita berusia 24 tahun ini, dia dan keluarganya turut terkesan dengan pemergian Paklong kerana hubungan mereka agak rapat memandangkan masing-masing sudah berbelas tahun saling mengenali ketika sama-sama berniaga di pasar malam sekitar Kuantan

“Saya dengan arwah dan isteri arwah memang kenal dari saya masih kecil sebab memang family berniaga pasar malam sekali dengan arwah. Arwah dulu jual burger, tahun 2019 tu baru arwah start jual rojak buah,” ujarnya yang mengusahakan perniagaan minuman ros bandung

Berkongsi serba sedikit perwatakan dan keperibadian Paklong, Siti Nursuhadah berkata lelaki tersebut sememangnya seorang yang sangat baik hati, pemurah, ringan tulang selain suka buat lawak.

“Kalau kata dia lalu dan kita tegur dia, memang dia akan berhenti sembang dulu dengan kita. Arwah suka tolong orang. Kalau kata kanopi atau generator rosak memang dia akan tolong repairkan.

“Sebab saya dulu akan pergi berniaga seorang. Arwah niaga tapak berhadapan. Dia akan tolong buka kanopi sekali. Orang pasar malam memang senang kalau dia ada. Kalau arwah ketawa dengan kita sekali terikut ketawa.

 

Arwah memang baik. Kalau malam sebelum balik tu ada buah lebih memang dia akan buat dan bagi dekat peniaga yang ada untuk makan free je,” ceritanya.

Tambah Siti Nursuhadah, tidak dinafikan dia sedikit terkilan kerana tidak berkesempatan menziarahi lelaki tersebut ketika sakit, dek kerana kekangan pandemik Covid-19 serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Rasa sedih sebab tak sempat nak pergi ke rumah arwah. Nak ke kubur pun tak boleh sebab PKP… terhad untuk family arwah sahaja.

“Memang terasa kehilangan, sebab takkan nampak dah wajah dan dengar ketawa arwah lagi dekat pasar malam nanti,” katanya.

Ramai yang sedih

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet mengucapkan takziah dan turut bersedih atas berita pemergian insan berhati mulia berkenaan.

Mereka tidak putus-putus mendoakan agar Allahyarham ditempatkan di syurga. Bahkan, ada yang sedih sebab tidak berkesempatan menjamah ‘air tangan’ arwah.

Al-Fatihah

Besar pahala orang kuat sedekah

Menurut wanita ini lagi, dia bagaimanapun gembira apabila ramai netizen dan juga pelanggan bukan sahaja mengingati kebaikan arwah, malah turut mendoakan kesejahteraannya. – mSTAR

LIHAT VIDEO DIBAWAH:-

Semoga Roh Arwah Paklong Dicucuri Rahmat olehNYA dan ditempatkan di kalangan Ahli Syurga. Amin YRA

Sumber: Twitter @sitisuamii

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook MyKMU

Leave a Reply