Ibu dan anak jadi tokan dadah ditahan


Seorang ibu berusia 49 tahun dan anak lelakinya, berusia 25 tahun ditahan kerana disyaki terlibat dengan sindiket pengedaran dadah di Jalan Gasing, PJS 10, Petaling Jaya, semalam.

Difahamkan, serbuan dilakukan kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

Kedua-dua suspek juga dipercayai mula terlibat dengan pengedaran dadah di sekitar ibu negara dan Selangor kira-kira setahun yang lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, semakan rekod lampau mendapati suspek lelaki mempunyai tujuh rekod kes dadah manakala ibunya pula mempunyai 3 rekod kes dadah.

“Kita turut merampas 40 paket plastik disyaki dadah jenis heroin (62 gram), dua paket plastik syabu (3.0 gram) dan sebuah kereta jenis Hyundai.

“Berdasarkan malumat daripada serbuan pertama, kita telah membuat tangkapan kedua melibatkan seorang suspek lelaki berusia 22 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Nik Ezanee, serbuan kedua itu dilakukan di Sg Way, Petaling Jaya pada pukul 8.30 malam hari yang sama.

Jelasnya, suspek itu itu juga dipercayai merupakan seorang ahli dalam sindiket pengedaran dadah tersebut.

“Kita juga merampas dadah disyaki ganja seberat dua kilogram dan sebuah kereta jenis Honda Insight

“Kesemua nilai dadah yang dirampas melibatkan kesemua suspek ialah sebanyak RM8,900,” katanya.

Buat masa ini jelasnya, kesemua suspek direman selama tujuh hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tambahnya, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengeasn sindiket lain yang terlibat. SM

Leave a Reply