Dulu Lorong Terbiar..Sekarang?…
TERLETAK di kosong kilometer (km), Bandar Kangar, Perlis, Street Art 2.0 antara lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai jika bertandang ke sana.
Mana tidaknya, lokasi itu seolah-olah mengimbau kenangan masyarakat setempat mengenai kehidupan di bandar berkenaan sekitar 1970-an.
Menjadikan mural sebagai medium utama tarikan pengunjung ternyata ia sesuatu yang perlu dipuji kerana mampu mengangkat satu lagi produk pelancongan di negeri itu bersandarkan karya seni berkenaan.
Penulis sendiri yang sempat berkunjung ke destinasi itu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 begitu beruntung kerana menemui insan yang mencetuskan idea untuk melaksanakan projek berkenaan iaitu Pengerusi Persatuan Pelukis Negeri Perlis, Yaakob Abd Aziz atau lebih mesra disapa Cikgu Yaakob.
Katanya, projek berkenaan dilaksanakan bermula pada Disember 2019 dan siap sepenuhnya pada Januari tahun lalu yang membabitkan 15 artis tempatan.
Pesara guru itu turut menambah, Street Art 2.0 adalah destinasi yang menarik untuk dikunjungi kerana ia menonjolkan 25 lukisan mural dan tiga di lantai membabitkan jenis tiga dimensi (3D), dua dimensi (2D) dan interaktif.
“Kami mengangkat kisah masyarakat setempat sebagai idea lukisan di sini sejak 1970 supaya ia mempunyai unsur ‘kedekatan’ dan paling penting dapat mengimbau sedikit sejarah mengenai Bandar Kangar itu sendiri.
“Terdapat dua elemen penting yang diangkat di dalam lukisan mural ini iaitu warisan dan nostalgia supaya apabila pengunjung tempatan datang khasnya mereka dapat mengimbau cerita mereka mungkin di bangku sekolah atau zaman kanak-kanak,” katanya.
Cikgu Yaakob berkata, sebelum itu lorong berkenaan adalah sebuah kawasan terbiar, tidak terurus dan agak sunyi.
Katanya, sebelum itu dia bersama pelajar sekolah pada 2014 sudah melaksanakan kerja melukis mural di lorong berkenaan tetapi tidak begitu menarik kerana masih dibuka kepada laluan kenderaan.
“Jadi, pada November 2019 saya bertemu dengan Kerajaan Negeri Perlis dan Majlis Pembandaran Kangar untuk mereka menyokong hasrat persatuan kami mewujudkan sebuah lorong seni.
“Akhirnya, mereka bersetuju dan memberi dana sekitar RM30,000 kepada persatuan bagi menjalankan kerja melukis mural serta tidak membenarkan kenderaan melaluinya,” katanya.
Cikgu Yaakob berkata, jika orang ramai mengunjungi lokasi itu mereka dapat melihat beberapa wajah ikon yang begitu sinonim dengan masyarakat Perlis.
Antara yang kami lukiskan wajah mereka di lorong sepanjang 95 meter itu adalah Penglipur Lara Awang Batil, Yus Raja Lawak dan Pak Samad Putu Mayang.
“Ikon-ikon ini begitu sinonim dengan Perlis dan kita mengangkat mereka sebagai idola kepada masyarakat setempat.
“Seperti Pak Samad Putu Mayang yang meninggal dunia pada tahun lalu, beliau adalah wajah yang begitu ikonik kepada masyarakat setempat sebagai peniaga.
“Boleh dikatakan dari era 70-an, mereka yang bersekolah di Kangar ini akan mengenali beliau yang berniaga putu mayang di bawah pokok ru di Stesen Bas Kangar,” katanya.
Ketika penulis mengunjung destinasi itu, Cikgu Yaakob turut menceritakan mengenai beberapa lukisan kedai buku dan sebuah kumpulan muzik yang berada di lorong seni berkenaan.
“Kami turut melukis mural kumpulan muzik dari Perlis yang begitu popular suatu ketika dahulu iaitu Burglars.
“Selain itu, terdapat lukisan mural beberapa buah kedai buku yang dahulunya terkenal di bandar ini kerana sering dikunjungi penduduk setempat untuk membeli bahan ilmiah,” katanya mengakhiri perbualan-HM