Lima cedera terjun daripada flat yang terbakar

 

KUCHING: Lima orang cedera selepas terjun daripada flat empat tingkat yang didiami mereka bagi menyelamatkan diri dalam kebakaran, awal pagi tadi.

Sementara sepasang suami isteri bersama bayi mereka yang tinggal di flat berkenaan berjaya diselamatkan oleh pasukan bomba.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, berkata kebakaran dilaporkan jam 5.12 pagi, membabitkan flat di Blok F, Lorong 7, Taman Suria Jaya, Jalan Matang.

“Kebakaran membabitkan 14 unit dalam blok bangunan berkenaan.

“Kesemua lapan mangsa dalam keadaan selamat, namun tujuh motosikal yang diletakkan di dalam flat berkenaan rosak terbakar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jurucakap itu berkata, sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dan BBP Batu Lintang segera digerakkan ke lokasi bagi memadam kebakaran, sebaik laporan diterima.

“BBP Petra Jaya menggunakan satu aliran 300 kaki, dua nozel dan mengepam air daripada pili bomba dengan pemadaman ke dalam bangunan.

“BBP Batu Lintang membentang satu aliran 200 kaki, dua nozel dan mengepam air daripada pili bomba dengan membuat pemadaman di luar bangunan,” katanya.

Beliau berkata, kebakaran dapat dikawal pada jam 5.43 pagi dan operasi pemadaman ditamatkan jam 7.21 pagi.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker