Balu Abam Bocey sedekah makanan untuk pelanggan

Kuala Lumpur: Balu Allahyarham Abam Bocey, Nurhidayah Mohd Ali akan sedekahkan mi kari dan bihun sup kepada pelanggan yang datang ke kedai HidayahAbamHamzah miliknya di Medan Selera Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB), Jalan Tebedu, Sabak Bernam esok bagi memenuhi niat dibuat ke atas suaminya yang meninggal dunia pada 10 Februari, tahun lalu.

Nurhidayah ketika dihubungi berkata, disebabkan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia tidak dapat membuat majlis tahlil buat Allahyarham suaminya itu.

“Esok, genap setahun arwah pergi meninggalkan kami. Memandangkan penularan Covid-19 dan masih PKP, saya tak boleh buat majlis tahlil untuknya. Jadi, saya ada tempah mi kari dan bihun sup daripada adik, Mohammad Zainuddin Mohd Ali dan adik ipar, Nor Farhana Nordin untuk sedekahkan kepada semua pelanggan yang datang ke kedai saya esok.



“Saya sudah niatkan untuk Allahyarham suami, Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan serta Allahyarham abang-ababg saya iaitu Rosli, Azmi dan Ismail Mohd Ali. Semoga roh mereka di tempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di Sabak Bernam.

Nurhidayah mengakui, banyak liku dan cabaran hidup harus dilaluinya selepas arwah tiada, namun dia bersyukur Allah membantu mempermudahkan segala urusannya.

“Alhamdulillah, Allah ada. Walaupun terlalu banyak liku dan cabaran hidup saya sepanjang setahun selepas ketiadaan arwah, semuanya Allah permudahkan. Terima kasih kepada mak, abah dan keluarga.

“Selain itu, pada semua yang sentiasa menyokong saya, memberi kata-kata semangat, selalu mendoakan yang baik-baik untuk saya dan anak, termasuk buat arwah suami. Semoga segala doa yang baik-baik daripada kamu semua, berbalik pada kalian semua juga,’ katanya.



Abam meninggal dunia di rumahnya, tahun lalu selepas dua hari mengalami demam. Arwah meninggalkan balu dan seorang anak lelaki, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey, kini berusia setahun tujuh bulan.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker