Tindakan BAM Pelik – Roslin Hashim

KUALA LUMPUR: Bekas jaguh badminton negara, Roslin Hashim terkejut dengan tindakan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menggugurkan beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai daripada skuad kebangsaan.

Menurut pemain yang pernah menduduki ranking nombor satu perseorangan lelaki dunia itu, dia turut hairan dengan tindakan BAM itu kerana Soon Huat-Shevon masih mempunyai peluang untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Justeru, katanya, pasangan itu sepatutnya diberikan peluang untuk menunjukkan kemampuan mereka memandangkan mereka menunjukkan peningkatan apabila mara ke separuh akhir Jelajah Dunia Akhir BWF di Bangkok, Thailand, bulan lalu.



“Bagi saya, Soon Huat-Shevon seharusnya diberi peluang sehingga Olimpik. Ini kerana kalau dilihat daripada Jelajah Dunia Akhir BWF, mereka mara ke separuh akhir. Paling tidak, ada keputusan baik ditunjukkan dan bulan depan sudah bermula kelayakan Olimpik.

“Jadi, kenapa tidak mereka ini diberikan peluang sehingga ke Olimpik? Bagi saya, lebih baik mereka diberi peluang sehingga ke Olimpik kerana mereka berada dalam ranking yang baik (ke-11) dalam senarai ke Olimpik. Maksudnya kedudukan mereka ini bukan dalam zon sukar,” katanya.

Kelmarin, BAM menerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) membuat keputusan menggugurkan Soon Huat-Shevon berdasarkan penilaian prestasi pemain di sepanjang tahun lalu.

Antara pemain senior yang turut digugurkan adalah perseorangan wanita, Soniia Cheah, Vivian Hoo (beregu wanita) dan Lai Pei Jing (beregu campuran).



Roslin berkata, dia turut pelik dengan tindakan BAM apabila hanya menggugurkan Pei Jing, manakala gandingannya, Tan Kian Meng dikekalkan.

“Ada juga yang sedikit pelik dan terkejut, Pei Jing digugurkan tetapi gandingannya, Kian Meng tidak. Kenapa seorang saja? Kecuali kalau Pei Jing ada masalah sendiri.

“Soniia pula saya sudah jangka, Vivian saya dapat lihat prestasinya menurun disebabkan gandingannya Yap Cheng Wen. Apa yang saya lihat, Cheng Wen masih belum kukuh dalam permainan, tidak seperti ketika Vivian menang di Sukan Komanwel (2018) bersama Chow Mei Kuan… masa itu dia sudah kukuh.

“Jadi secara keseluruhannya, ada yang saya terkejut dan ada yang sudah dijangka namun apapun, keputusan itu semua di tangan BAM dan mereka lebih mengetahui,” tambah Roslin.



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker