Tarik balik gelaran Tan Sri

PIHAK kerajaan didesak mempertimbangkan untuk menarik balik penganugerahan pingat yang membawa gelaran Tan Sri kepada Tommy Thomas kerana mengkhianati tanggungjawabnya ketika menjawat jawatan sebagai Peguam Negara.

Daripada apa yang diutarakan melalui buku tulisannya bertajuk My Story: Justice in the Wilderness jelas membawa maksud bahawa sejak diperkenankan pelantikannya oleh Yang di-Pertuan Agong, soal kebertanggungjawaban dan bidang kuasa telah dicampur aduk termasuk berperanan mengambil posisi dalam urusan pelantikan Ketua Hakim Negara serta pelantikan hakim kanan lain yang sepatutnya berada di luar bidang kuasa seorang Peguam Negara.

Adakah dengan cara ‘angkat bakul sendiri’ sebagai Peguam Negara yang bersih serta berintergriti tinggi dengan menyalahkan serta meletakkan bebanan kecacatan tugas pendakwaan ke atas pegawai kanan Attorney-General’s Chambers (AGC) layak meletakkan diri beliau seorang Peguam Negara yang baik dan layak diberikan pengiktirafan?

Memperlekehkan ahli politik termasuk bekas Perdana Menteri dengan tuduhan-tuduhan tidak berasas terutamanya di era kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah di mana beliau dilantik ke jawatan berkenaan secara ‘payung terjun’ atas kehendak serta sokongan kuat DAP adalah tindakan yang amat melampau.

Pendedahan beliau dalam dokumen bertulis berkenaan amat serius serta berat sebelah sehingga menimbulkan persoalan apakah ‘modus operandi’ sebenar semasa menjawat jawatan sebagai Peguam Negara sehingga membangkitkan persepsi negatif rakyat terhadap badan pendakwaan negara itu.

Malangnya kepimpinan berkonsepkan ‘rule of law’ yang menjadi laungan keramat kerajaan PH dahulu, awal-awal lagi telah dicabul oleh badan pendakwaan yang diketuai Tommy sebagai contoh dengan membatalkan kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang yang sedang dalam perbicaraan melalui suatu permohonan representasi tanpa sebab yang rasional walaupun berselindung di sebalik bidang kuasa yang dibenarkan oleh undang-undang negara.

Dari sudut kewarasan layak dipertikaikan serta suatu siasatan wajar dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi merungkai jika wujudnya elemen salah guna kuasa dan rasuah yang termeterai sebagai balasan kepada pihak berkepentingan sebagai urusan ‘barter trade’ ke atas jawatan Peguam Negara khususnya melibatkan kes-kes jenayah yang berkepentingan awam seperti kes penyokong Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dan rasuah yang telah digugurkan tanpa alasan yang kukuh.

Justeru, dalam tempoh lebih kurang 20 bulan diangkat sebagai Peguam Negara adalah amat jelas, melalui tulisan memoir beliau, membawa maksud bahawa sumbangan dan tanggungjawab serta komitmen beliau kepada badan pendakwaan dan negara berkemungkinan tidak selari dengan sumpah taat setia yang diikrarkannya.

Oleh yang demikian cadangan agar kerajaan menarik semula gelaran Tan Sri terhadap beliau adalah wajar.

RAHMAD ISAHAK
Aktivis politik

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker