Port Dickson kini pengeluar latok ‘anggur laut’
Port Dickson: Siapa menyangka rumpai laut latok yang popular di Sabah sebaliknya mampu diternak secara serius di Lukut di sini.
Usaha penanaman rumpai laut yang turut popular dengan panggilan anggur laut itu dilakukan Fatimah Salleh, 38, dan suaminya, Abdul Samad Idris, 44, sejak dua tahun lalu.
Malah latok yang dihasilkan itu dibekalkan untuk dua restorannya di Kepong dan Shah Alam, Selangor.
Fatimah berkata, dia sebelum ini terpaksa mendapatkan bekalan latok dari Sabah ataupun dari Thailand.
“Berikutan kesukaran mendapatkan bekalan berterusan, saya dan suami mencari jalan untuk menanam rumpai laut ini sekaligus ejenmenjadi pengeluar pertama di Negeri Sembilan.
“Bagi mendapatkan ilmu menternak latok, kami pergi ke beberapa negara seperti Jepun, Filipina, Thailand, Vietnam dan Indonesia,” kata wanita berasal dari Semporna, Sabah ini.
Katanya, hanya beberapa lokasi sesuai untuk penanaman latok seperti di Langkawi, Johor, Melaka dan Port Dickson.
“Namun kami menanam latok menggunakan air laut dengan proses pembiakan dilakukan di darat.
“Menternak latok memerlukan suhu yang sesuai dan juga air laut yang bersih kerana ia mudah rosak jika air laut kotor. Selepas hampir enam bulan, barulah kami memperolehi cara membiakkan latok dengan berkesan selepas beberapa eksperimen dilakukan,” katanya.
Tambah menguatkan semangat mereka apabila usaha itu disokong Jabatan Perikanan Negeri Sembilan yang banyak membantu.
“Latok agak sensitif pada air dan suhu kerana itu ia memerlukan tumpuan penjagaan. Air laut ini kami proses dahulu sebelum penanaman dimulakan.
“Latok memerlukan cahaya matahari bagi menghasilkan latok yang sihat dan panjang sekitar lapan inci. Apa yang menarik, latok ternak ini lebih bersih, kualiti lebih baik, lebih sedap dan tidak hanyir seperti latok yang tumbuh meliar atau dalam sangkar di laut,” katanya.
Fatimah berkata, latok yang siap diproses dihantar kepada ejen di seluruh Malaysia malah turut mendapat permintaan dari pengusaha restoran makanan Jepun di Kuala Lumpur.
“Kami kini ada 13 kolam ternakan latok dan kami memerlukan 50 hingga 70 lagi kolam takungan untuk tambahan ternakan latok bagi mencukupkan permintaan di seluruh negara,” katanya.
Pelancong tiada, penduduk BALI terpaksa hidupkan semula industri yang mati sedekad lalu