Cadangan turunkan graf pemarkahan SPM/SVM tidak masuk akal, kata pendidik


Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) dan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) membantah cadangan pihak tertentu supaya Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) menurunkan graf pemarkahan untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) 2020.

Setiausaha Agung NUTP Harry Tan Huat Hock berkata, perkara ini sukar dilaksanakan kerana sijil SPM/SVM dijadikan penanda aras kepada peperiksaan antarabangsa yang setaraf dengannya.

Berikutan itu, Harry berkata LPM sebagai badan profesional dan penjaga standard peperiksaan awam negara mesti menjalankan kewajipan mereka agar sistem pendidikan kita bertaraf dunia.

“Sekiranya kita ambil analogi peperiksaan seseorang doktor, bolehkah kita turunkan standardnya? SPM adalah pasport untuk alam pekerjaan dan pendidikan tinggi.

“Kita mesti pastikan ada kebolehpercayaan terhadapnya oleh majikan dan juga institusi pendidikan tinggi di dalam dan luar negara,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tan berkata demikian ketika mengulas cadangan Pengerusi Jawatankuasa Khas Pendidikan Parlimen Malaysia Jalaluddin Alias semalam supaya LPM dan Kementerian Pendidikan mempertimbangkan untuk menurunkan graf pemarkahan bagi calon SPM dan SVM 2020 berikutan penangguhan sesi pembelajaran secara bersemuka bagi calon peperiksaan berkenaan mulai Selasa ini.

Sementara itu, presiden i-Guru Mohd Azizee Hasan berkata, cadangan berkenaan tidak relevan kerana Malaysia mempunyai standard untuk sistem dan kaedah peperiksaan, dengan gred ditentukan mengikut piawaian tertentu yang ditetapkan oleh LPM.

Sebagai contoh, katanya, sekiranya ramai pelajar memperoleh markah lebih 80% dalam sesebuah subjek, semestinya untuk mendapat A+ dalam subjek tersebut, seseorang pelajar mesti memperoleh markah lebih 90%.

“Tugas guru adalah memastikan pelajar berusaha sehingga ke saat-saat akhir dan membuat persediaan yang secukupnya.

“Faktor Covid-19 tidak boleh dijadikan alasan kerana kita telah melalui pengalaman menghadapi bencana seperti banjir dan sebagainya. Lagipun, sistem pengajaran boleh berjalan secara dalam talian atau luar talian mengikut kaedah yang sesuai dengan pelajar,” katanya.
FMT

Cadangan “BATAL SPM”, Kumpulan Pendidikan Tidak Gembira

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker