Kedai gunting rambut ibarat ‘telur di hujung tanduk’


Persatuan Penggunting Rambut Bumiputera Malaysia berkata keadaan ahlinya ibarat “telur di hujung tanduk” akibat penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0.

Presidennya TN Winda Tahir berkata, keputusan kerajaan melanjutkan tempoh PKP 2.0 menyebabkan perniagaan mereka, seperti juga pemain industri lain semakin getir.

Beliau menggesa kerajaan membenarkan kedai gunting rambut beroperasi segera kerana “keadaan pemain industri amat tertekan pada masa ini” dan majoriti mahu dibenarkan beroperasi semula 5 Feb ini.

Tarikh itu mengambil kira PKP 2.0 (yang dikenakan 13 Jan lalu ) dijadual tamat sehari sebelum itu. Bagaimanapun, kerana catatan harian kes Covid-19 masih tinggi kerajaan memutuskan perintah itu dilanjutkan hingga 18 Feb dengan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat di seluruh negara kecuali Sarawak.



Keputusan itu diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Namun, sebelum pengumuman itu dibuat, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berucap di satu forum Bursa Malaysia menegaskan penutupan dan sekatan ketat akan menjejaskan industri kecil dan sederhana dan “kerajaan tidak akan mengizinkan itu terjadi”.

Apa pun bagi Winda, “saban hari semakin ramai yang gulung tikar kerana tidak mampu membayar sewa selain tidak larat menanggung kerugian lebih besar”.

Kesan PKP 1.0 katanya, masih dirasai walaupun PKP pemulihan pada separuh kedua tahun lalu membantu sedikit-sebanyak.



“Namun, keadaan tidak bertambah baik dan akhirnya menyebabkan lebih daripada 35% dalam industri terpaksa tutup perniagaan secara kekal dan lebih daripada 14,000 rakyat yang mahir kehilangan pekerjaan,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, dengan pelaksanaan PKP 2.0 menjadikan mustahil bagi mereka mengatasi cabaran kewangan.

“Kami tidak mampu bertahan lagi dan pertimbangan sehabis baik kerajaan ialah membenarkan kami beroperasi 5 Feb ini,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pendandan Rambut Bumiputera Bambang Sutrisno Soteto berkata, kesan PKP 2.0 kepada industri gunting rambut lebih teruk berbanding PKP 1.0.



Katanya, kebanyakan pemain industri tidak sempat menyimpan wang untuk menghadapi PKP 2.0 kerana “masa PKP 1.0 pun kita sudah banyak guna wang untuk tampung kerugian, selepas PKP 2.0 ini kita memang tak sempat nak simpan”.

Beliau kesal apabila kedai gunting rambut tidak dibenarkan beroperasi meskipun indutsri itu tidak mempunyai kluster.

“Lebih menyedihkan industri yang mempunyai banyak kluster dibenarkan beroperasi dan ini kita nampak ketidakadilan sebab indutsri kita paling banyak SOP yang kita jaga dan ikut,” katanya.

Bambang seperti Winda, memohon kerajaan memahami keadaan sukar dihadapi mereka.



Dalam pada itu, Ismail berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang mengkaji dan menimbangkan permohonan serta rayuan sektor perniagaan yang tidak dibenarkan beroperasi supaya mereka boleh membuka semula perniagaan.

Bagaimanapun, beliau berkata setiap permohonan termasuk daripada kedai gunting rambut mesti menjalani penilaian risiko dibuat Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum dibentangkan pada sidang khas MKN untuk diluluskan. FMT

Tukang gunting rambut disyaki positif Covid-19



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker