Buku Tommy penghinaan kepada institusi peguam negara – Shahril


KELAYAKAN Tan Sri Tommy Thomas sebagai peguam negara terus dipersoalkan. Ketika dia memegang jawatan tersebut tidak kurang ramai yang menentang pelantikannya kerana beranggapan dia tidak layak untuk jawatan tersebut.

Dan selepas buku karangannya yang bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness” diterbitkan, seolah-olah menjadi bukti bahawa dia tidak layak untuk jawatan itu.

Ketua Penerangan UMNO Shahril Sufian Hamdan berkata, Tommy mungkin berpandangan bahawa dia mempunyai hak untuk mengkritik dan menghina sesiapa sahaja, baik yang hidup atau yang sudah meninggal dunia dalam buku itu.

Namun apa yang dilontarkan oleh Tommy terhadap beberapa perkara dan isu, kalaupun tidak menyalahi undang-undang namun amat tak sesuai kerana ia datang dari seorang bekas peguam negara.

Kata Shahril Sufian, isi kandungan buku Tommy itu menghina institusi peguam negara yang beliau sendiri pegang suatu ketika dahulu.

“Satu perkara hampir pasti. Dengan buku anda, anda bukan hanya telah menghina ramai pihak, tetapi menghina institusi peguam negara yang anda sendiri pegang suatu ketika dahulu.

“Jangankan mahu menutup kegagalan sewaktu jadi peguam negara, mungkin buku ini juga antara kegagalan paling besar anda sehingga saat ini,” kata Shahril Sufian.

Antara yang dipersoalkan oleh Shahril Hamdan dalam buku yang ditulis oleh Tommy itu adalah berkaitan bekas perdana menteri, Tun Abdul Razak yang disifatkan amat mendukacitakan kerana ia datang dari seorang bekas peguam negara.

Dalam buku itu Tommy menulis: “Why did Malay youths brandishing parangs..turn on their fellow citizens, the Chinese..on..May 13th, 1969? The evidence points to a coup by Tun Razak” (Mengapa pemuda Melayu menghunuskan parang terhadap rakyat senegara mereka yang berketurunan Cina…. pada 13 May 1969? Bukti menunjukkan rampasan kuasa oleh Tun Razak)

“An open challenge by Tun Razak would have failed. The matter was compounded by a critical fact that Malaysians were not aware of. Tun Razak had been told he was suffering from leukaemia, and was given five to six years to live, a medical prognosis that turned out to be accurate” (Cabaran terbuka oleh Tun Razak pasti akan gagal. Perkara itu disatukan oleh fakta kritikal yang tidak disedari oleh rakyat Malaysia. Tun Razak diberitahu bahawa dia menderita leukemia, dan diberi lima hingga enam tahun untuk hidup, prognosis perubatan yang ternyata tepat).

“(W)ho benefitted from the riots? – it was Tun Razak” “(Siapa yang mendapat keuntungan dari rusuhan itu? – itu adalah Tun Razak).

Shahril Sufian berkata, bukti apa yang Tommy ada sehingga tergamak menerbitkan tuduhan terhadap Bapa Pembangunan Malaysia yang sudah meninggal dunia itu dan tidak boleh untuk menepis tuduhan yang beliau buat.

Menurutnya, insiden 13 Mei adalah detik hitam negara yang masih menjadi perkara sensitif. Dan sebagai bekas peguam negara, Tommy perlu menulis peristiwa itu dengan bertanggangjawab dan bukannya seperti pengarang surat layang.

“Ini penghinaan yang teramat serius – yang merendahkan keperibadian seorang bekas pemimpin negara. Berasaskan apa? Bukan berasaskan bukti, tetapi “conjecture” dan prejudis yang tebal.

“Bila menulis “why did Malay youths brandishing parangs..turn on Chinese..”, adakah itu bertanggungjawab?

“Adakah itu cara seorang yang kononnya mementingkan keharmonian antara kaum pada tahun 2021? Begitu mudah menyingkap insiden 1969 dengan bahasa dan penulisan yang sebegitu mudah dan simplistik menunding jari kepada satu pihak?” tanya Shahril Sufian.

Katanya, jawatan peguam negara bukan jawatan kecil dan termaktub dalam Perkara 145 Perlembagaan Malaysia.

Tentunya apabila menjadi peguam negara dan setelah tamat tempoh perkhidmatan wujud etika dan “decorum” yang sesuai dengan institusi tersebut.

Justeru sebagai bekas peguam negara, Tommy tidak boleh menulis sesuka hati seolah-olah mahu menjadi wartawan “insider”. SM

Leave a Reply