Darurat: Khairuddin mahu heret Peguam Negara ke mahkamah


Penyokong Dr Mahathir Mohamad, Khairuddin Abu Hassan mahu mengheret Peguam Negara Idrus Harun ke mahkamah atas “kegagalannya” menasihati Muhyiddin Yassin untuk meletak jawatan sebagai perdana menteri berikutan apa disifatkannya sebagai kehilangan sokongan majoriti.

Dalam semakan kehakimannya, Khairuddin berkata, Idrus juga tidak menjalankan tugas perlembagaannya dalam memberikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa Muhyiddin tidak mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen.

“Saya tidak berpuas hati dengan tindakan Peguam Negara dan itulah sebabnya saya memulakan tindakan mahkamah untuk semakan kehakiman terhadapnya,” katanya.

Khairuddin menuntut deklarasi bahawa tindakan Idrus menyertai Muhyiddin dan anggota Kabinet menghadap Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk memohon pengisytiharan darurat bulan lalu tidak berperlembagaan.

Beliau mendakwa, Ahli Parlimen Machang dari Umno Ahmad Jazlan Yaakub dan Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz menarik balik sokongan mereka terhadap Muhyiddin dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing pada 9 dan 12 Jan.

“Ini membuktikan beliau (Muhyiddin) tidak lagi memiliki majoriti,” katanya.

Khairuddin sebelum ini memfailkan tuntutan terhadap Muhyiddin, dengan mendakwa beliau tidak memiliki keabsahan untuk menasihati Sultan Abdullah untuk mengisytiharkan darurat.

Dia mengajukan pertanyaan perundangan untuk dijawab oleh mahkamah, sama ada Muhyiddin, yang menurutnya kehilangan sokongan majoriti di Dewan Rakyat, masih layak menasihati Sultan Abdullah untuk mengisytiharkan darurat.

Susulan itu, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim juga memfailkan permohonan memulakan semakan kehakiman untuk mencabar keputusan kerajaan menuntut pengisytiharan darurat.

Anwar mendakwa, nasihat Muhyiddin kepada Agong dilakukan dengan niat buruk, bertujuan untuk memastikan perdana menteri terus berkuasa.

Tiga wakil rakyat lain Pakatan Harapan – Ahli Parlimen Pulai Salahuddin Ayub (Amanah), Ahli Parlimen Sungai Petani Johari Abdul (PKR) dan ADUN Tebing Tinggi Abdul Aziz Bari (DAP) – juga mengemukakan permohonan untuk memulakan semakan kehakiman ke atas keputusan tersebut serta penangguhan persidangan Parlimen dan DUN.

Selain itu, sekumpulan NGO mengemukakan tuntutan awal minggu ini untuk memohon deklarasi mahkamah sama ada perdana menteri dan kerajaan “mempunyai kuasa untuk mengkaji setiap percubaan yang melanggar peruntukan perlembagaan yang mengharuskan instrumen ini dibawa ke hadapan Parlimen terlebih dahulu”.

Ahli Parlimen Pasir Gudang dari PKR Hassan Karim mengajukan permohonan sama untuk memulakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Johor Bahru berhubung pengisytiharan darurat. FMT

Mahkamah tolak permohonan semakan kehakiman MUDA

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker