Pokok Menjalar Seakan Kalimah ALLAH Di Bukit Bongkok
Ekspedisi mendaki Bukit Bongkok setinggi 897 meter di sini, menemukan pokok menjalar yang membentuk seakan-akan kalimah Allah di sebalik rimbunan hutan menghijau di kawasan berbukit di situ.
Penemuan yang tidak dijangka dan mengejutkan itu disedari seorang penduduk, Aminuddin Mat Nai, 79, ketika menuruni Bukit Bongkok setelah ke lokasi empang Lata Ulu Berau, semalam.
Ekspedisi diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damak, Zuridan Mohd. Daud bagi melihat kelestarian hutan itu yang mengandungi beberapa sungai berpunca dari Bukit Bongkok dan Gunung Tungku.
Zuridan berkata, kalimah Allah daripada lilitan akar itu jelas dilihat di tengah- tengah Bukit Bongkok.
“Ini adalah kebesaran Allah SWT supaya setiap insan menjaga dan memulihara kelestarian alam sekitar yang menjadi milik semua insan di dunia,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas ekspedisi di kawasan tadahan air di Sungai Lata Ulu Berau, di sini semalam.
Sementara itu, Aminuddin yang merupakan seorang bekas tentera yang tinggal di kaki Bukit Bongkok itu tidak menduga dapat melihat bentuk kalimah Allah daripada lilitan akar pokok.
Menurutnya, dia kerap melalui jalan denai tetapi tidak perasan kewujudan pokok menjalar seakan-akan kalimah Allah di kawasan itu.
Tambahnya, penemuan berkenaan secara tidak langsung boleh dijadikan subjek tarikan pelancong lasak yang melalui denai di situ.
“Bagaimanapun, kawasan di Bukit Bongkok memang banyak misteri kerana duhulu dipercayai tempat tinggal orang bunian,” katanya. – UTUSAN ONLINE
Gigitan Dan Air Liur Berbahaya, Biawak Seberat 60KG Serang Dua Beranak Di Terengganu