Kerajaan Selangor disaman ‘berkonspirasi’ tamat projek tanam semula hutan


Kerajaan Selangor disaman sebuah syarikat perhutanan dan lima anak syarikatnya atas tuduhan “berkonspirasi” menamatkan projek penanaman semula hutan simpan sejak 2001.

Saman itu difailkan Mega Forest Plantation Management Sdn Bhd, Megafores Nursery Sdn Bhd, Mega-Forestindah Paya Sdn Bhd, Mega-Foresternak Sdn Bhd, Megaforest Ideal Feed Sdn Bhd dan Mega Forest Plantation Management Sdn Bhd.

Selain kerajaan negeri, ia turut menamakan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Jabatan Perhutanan negeri, Trieco Green Sdn Bhd dan General Gadget Solution Sdn Bhd sebagai defendan.

Saman itu membabitkan hutan simpan seluas 10,000 hektar di Rantau Panjang dan Bukit Tarek di Hulu Selangor.

Mega Forest menerusi kenyataan berkata, saman itu difailkan selepas anak syarikat kerajaan negeri menamatkan perjanjian usaha sama atas alasan pelaburan mereka tidak sah kerana tidak mendapat kelulusan menteri kewangan pada 2001.

Syarikat itu mempersoalkan mengapa perkara itu baru dibangkitkan sekarang dan mengapa keperluan undang-undang itu tidak disemak penasihat undang-undang kerajaan negeri ketika itu.

“Tindakan kerajaan negeri itu didakwa seolah-olah dirancang untuk mengusir pelabur selepas jutaan ringgit dibelanjakan untuk membiayai penanaman semula kawasan hutan simpan.

“Perkara ini jelas melibatkan isu integriti dan tadbir urus kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Ia mendakwa kerajaan negeri dan Jabatan Perhutanan merampas kawasan yang disewa itu, walaupun pelaburan tidak sah disebabkan pelanggaran undang-undang oleh PKPS, dan menambah mereka meraih keuntungan daripada penanaman pokok getah, kelapa sawit dan Sentang.

Katanya, pokok yang ditanam sejak 20 tahun lalu itu mempunyai anggaran nilai pasaran RM345 juta.

“Malah, Jabatan Perhutanan didapati memberi permit baru untuk sebahagian daripada tanah sama kepada dua syarikat baru dengan modal berbayar hanya RM3 dan RM2,” dakwanya.

“Sebuah daripada syarikat yang dilantik sebagai subkontraktor itu dikenal pasti sebagai syarikat menjual peranti telekomunikasi, yang diragui tidak memiliki sebarang pengalaman dalam bidang perhutanan.”

Syarikat itu berkata, ia berusaha menyelesaikan masalah tersebut dengan kerajaan negeri, tetapi permintaannya ditolak, sementara Jabatan Perhutanan mengeluarkan notis pengusiran kepada syarikat terbabit dalam usaha sama itu. FMT

Cubaan curi kayu balak gagal

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker