Jutawan barang tiruan diberkas


SHAH ALAM – Seorang lelaki di sini boleh dikatakan seorang jutawan apabila mampu meraih pendapatan sehingga RM80,000 sebulan hanya dengan menjual barangan tiruan sejak Mac lalu ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

Malah lelaki berusia 30 tahun itu juga mampu menyewa sebuah rumah elit di Bandar Rimbayu di sini untuk dijadikan tempat tinggal dan stor penyimpanan barangan tersebut pada kadar RM1,800 sebulan sebelum diserbu pihak berkuasa pukul 11 pagi tadi.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Muhammad Zikril Azan Abdullah berkata, serbuan Ops Tiru itu hasil aduan wakil pemilik cap dagang dan risikan pihaknya selama dua minggu mengenai kegiatan penjualan baju pelbagai jenama menerusi laman sosial Facebook.

Katanya, suspek berusia 30an itu didapati menjalankan urusniaga menerusi Facebook dan mempunyai 30,000 pengikut.

“Baju berkenaan dijual pada harga sekitar RM6 hingga RM20 mengikut gred dan kualiti baju berkenaan.

“Kesemua barangan itu diimport masuk dari Vietnam melalui penghantaran kurier terus ke rumah terbabit yang juga merupakan stor penyimpanan barangan tiruan itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Muhammad Zikril menambah, hasil siasatan mendapati suspek dikatakan telah meraih keuntungan sehingga RM80,000 sebulan hasil daripada jualan secara atas talian sejak PKP tahun lalu.

“Hasil pemeriksaan di rumah tersebut menemukan sejumlah kira-kira 3,000 helai baju tiruan dengan jenama seperti Adidas, Nike, Louis Vuitton (LV), Puma dan Chanel.

“Nilai rampasan dianggarkan bernilai RM60,000,” ujarnya.

Jelas beliau, ini merupakan kes ketiga bagi tahun ini dan pemilik barangan berkenaan telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas mengambil keterangannya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, sebanyak 44 premis yang disyaki menjual barangan tiruan dan cetak rompak telah diperiksa dalam tempoh sebulan bermula 1 Januari lalu.

“Daripada jumlah bilangan premis yang diperiksa didapati sejumlah dua kes telah dihasilkan dengan nilai rampasan terkumpul RM1.5 juta selain menyita pakaian, beg tangan, dompet, jam tangan, kasut, aksesori telefon serta barangan aksesori wanita,” tegasnya. K Online

Instafamous kantoi jual minyak wangi tiruan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker