Dua peniaga didakwa tipu pelaburan Bitcoin

IPOH: Dua peniaga didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga tuduhan penipuan membabitkan pelaburan Bitcoin Actionnode dengan kerugian RM150,500 antara Mei hingga Julai tahun lalu.

Tertuduh, Reduan Ismail, 38, dan Adan Ibrahim, 34, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd. Darus.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, dua sekawan itu didakwa menipu Nur Raihan Shabila Md. Noor, 24, dan Rozidah Yahya, 49, dengan memperdaya mereka untuk mempercayai bahawa tertuduh dapat memberi pulangan pelaburan Bitcoin Actionnode sebanyak 20 peratus untuk tujuh bulan berturut-turut.

Penipuan itu telah mendorong kedua-dua mangsa masing-masing melaburkan wang sebanyak RM26,000 dan RM120,000.

Perbuatan tersebut dilakukan di Hotel Casuarina di sini kira-kira pukul 12 tengah hari, 26 Julai 2020.

Bagi pertuduhan ketiga, mereka turut didakwa menipu Normah Shaari, 60, dengan mendorong mangsa melabur wang sebanyak RM4,500 bagi tujuan pelaburan sama di Hotel Casuarina di Meru pada pukul 10 pagi, 8 Mei 2020.

Ketiga-tiga pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, K. Darinee manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Aizul Rohan Anuar, Hazwa Mahira Azman dan Nurradiah Zaini.

Terdahulu, Aizul memohon mahkamah supaya memberikan jaminan sebanyak RM2,000 bagi setiap pertuduhan untuk anak guamnya kerana mereka memberikan kerjasama baik dalam kes berkenaan selain akaun bank perniagaan mereka sudah lama dibekukan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin RM2,500 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin serta menetapkan 9 Mac ini untuk sebutan semula kes. -UTUSAN ONLINE

Nilai Bitcoin melangkaui RM100,000

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker