Catatan pengalaman doktor positif Covid-19

 

Hai semua,

Saya salah seorang yang berjaya dalam perjuangan dengan orgamisme yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.



Saya disahkan positif Covid-19 pada 8 Dis 2020 setelah keputusan saringan kedua swab saya dikeluarkan.

Kisah saya bermula pada 1 Dis tahun lalu apabila saya berhubung rapat dengan salah seorang pesakit positif Covid-19 di wad tempat saya bertugas. Sejurus selepas mendapat infomasi bahawa pesakit saya positif, saya menerima arahan untuk menjalani kuarantin di pada keesokan harinya (2 Dis).

Justeru saya menghubungi ahli keluarga untuk mengosongkan satu bilik tidur bagi tujuan mengasingkan diri daripada mereka. Selama satu minggu saya mengasingkan diri, ahli keluarga meletakkan satu kerusi plastik di luar pintu bilik berkenaan.

Keluarga saya juga mengasingkan semua barang keperluan harian saya seperti sudu, gelas, pinggan mangkuk dan sebagainya. Makanan dan minuman saya pun hanya akan diletakkan di atas kerusi plastik berkenaan saja.



Kami bercakap menerusi panggilan video atau saling menjerit di sebalik daun pintu bilik yang tertutup rapat.

Pada 3 Dis, swab pertama saya telah diambil. Keputusannya negatif dan sayajuga tidak mempunyai apa-apa gejala pada masa itu. Pada 5 Dis saya mula mengalami demam, sakit kepala yang teruk, sakit badan dan sendi-sendi, sakit mata, cirit-birit, serta letih.

Demam dan sakit badan tidak berkurangan walaupun selepas saya mengambil ubat. Ketika itulah saya mula mengsyaki ada kemungkinan saya menghidapi Covid-19 yang ditakuti ramai.

Demam tak berkurangan



Pada 7 Dis swab kedua saya diambil. Pada mulanya saya rasa lega kerana akhirnya dapat keluar dari bilik setelah mengasingkan diri daripada ahli keluarga selama tujuh hari.

Malangnya pada keesokkan harinya keputusan swab saya menunjukkan positif. Sejurus selepas itu, saya menerima beberapa panggilan untuk mengesahkan diagnosis, gejala dan akhirnya ambulans dihantar untuk mengambil saya dari rumah.

Saya telah dimasukan ke Wad C19. Setelah tiba di di situ saya melihat ramai lagi pesakit yang ada. Pada awalnya saya agak sihat untuk bersembang dan berkawan dengan pesakit yang lain dalam wad. Saya juga agak gembira dengan makan dan minuman yang disediakan untuk kami.

Kami sama sekali tidak dilayan dengan kasar. Kami diberi makanan empat kali sehari berserta bekalan air mineral yang tidak terhad dan makanan ringan seperti biskut dan mi segera.



Setelah tiga hari di wad, saya mula mengalami batuk yang teruk serta kurang deria rasa dan bau. Pada masa sama demam masih tidak berkurangan, sakit badan dan sendi serta cirit-birit masih berterusan.

Untuk menambah teruk keadaan, saya mulai mengalami kesukaran untuk bernafas dan tahap SpO2 (kandungan oksigen dalam darah) saya semakin menurun.

Pada hari keempat dalam wad, saya dipindahkan ke unit rawatan rapi (ICU) untuk pemerhatian rapi kerana SpO2 saya sekitar 90 peratus saja. Degupan jantung berada di atas tahap normal dan saya memerlukan bantuan alat pernafasan yang lebih tinggi untuk menolong saya bernafas.

Gambar hiasan



 

Pada waktu sama, saya dibawa ke bilik CT scan untuk prosedur yang ditetapkan. Ia dilakukan adalah untuk mencari punca kemerosotan keadaan saya.

Saya bernasib agak baik kerana hasil imbasan tersebut tidak menunjukkan sebarang darah beku dalam paru-paru.

Di ICU, saya dipantau dengan teliti. Saya amat bersyukur kerana dirawat oleh pasukan doktor intensivis dan doktor pakar penyakit berjangkit terbaik dalam hospital.



Pakar ICU Intensivis, Dato Lim, dengan tidak leka akan memberi setiap butiran perkembangan harian keadaan saya kepada ibu bapa saya. Dia juga memberi dorongan dan kata-kata semangat untuk saya tidak mengalah setiap kali kami berjumpa.

Ada keberanian untuk berjuang

Saya masih ingat dengan jelas, pada satu malam di ICU (hari kelima di situ rasnaya) saya hampir mengalah kerana mengalami kesukaran bernafas, dengan batuk yang teruk, dan SpO2 saya sekitar 85 peratus saja.

Ketika itu saya berasa bingung dan gelisah. Mereka terus memberikan pertolongan dan mendudukkan dalam kedudukan tripod. Staf ICU juga bersedia dengan alat ventilator dekat dengan katil saya.

Mereka memberitahu bahawa mereka mungkin perlu menggunakan tiub pernafasan ke atas saya jika SpO2 semakin merosot. Hal itu kerana pada waktu itu saya sudah mendapat sokongan oksigen aliran tertinggi.

Tanpa saya tahu, pasukan anestesia juga sebenarnya sudah menghubungi keluarga dan isteri saya beberapa jam kemudian dan memberitahu mereka bahawa saya dalam keadaan kritikal.

Ketika itu juga mereka meminta keluarga saya untuk bersedia untuk keadaan yang lebih buruk. Bagaimanapun dengan rahmat Tuhan, saya berjaya mengharungi malam itu. Sejak hari itu saya mempunyai keberanian untuk terus berjuang kembali.

Setelah tinggal 13 hari di ICU, tidur dalam keadaan rawan dengan pengambilan darah yang banyak dan x-ray dada yang berkali-kali, dos methylprednisolone yang tinggi, dos IV Vit C yang tinggi, Vitamin C oral, Vitamin D oral, antiviral (favipiravir), dan IV antibiotik untuk merawat radang paru-paru, saya mula menunjukkan sedikit perkembangan positif.

Gambar hiasan

 

Dan akhirnya pada 23 Dis saya dipindahkan ke wad biasa semula. Badan saya telah cukup sihat dan tidak lagi memerlukan rawatan rapi.

Setelah kembali ke wad C19 biasa, saya didorong untuk melakukan ambulasi dan senaman pernafasan dalam secara berkala bagi tujuan mengelakkan risiko darah beku dalam paru- paru dan urat dalaman.

Pada permulaannya, agak susah untuk saya bergerak kerana otot menjadi lemah tetapi dengan azam yang kuat untuk kembali sihat saya berjaya melakukannya.

Sudah melakukan yang terbaik

Pada hari ke-20 di hospital, saya tidak lagi perlukan sokongan oksigen dan dapat mengekalkan SpO2 saya pada tahap sekitar 95 peratus dan ke atas.

Tanggal 27 Dis adalah hari yang paling dinanti-nantikan. Setelah 23 hari dimasukkan ke hospital, saya diberi kebenaran doktor untuk pulang ke rumah.

Bagaimanapun saya diberitahu bahawa parameter darah dan x-ray saya akan mengambil masa berbulan-bulan untuk kembali ke tahap normal. Semua ini tidak akan berlaku tanpa doa, kasih sayang dan sokongan isteri, keluarga, Tuhan dan kawan-kawan.

Saya amat bersyukur kerana diberkati dengan sokongan sosial yang amat teguh. Kini sudah sebulan sejak saya dibenarkan keluar dari hospital. Saya masih mengalami sakit sendi, keletihan dan semput apabila berjalan jauh atau pantas.

Selain itu, stigma masyarakat memainkan peranan penting. Ramai orang tidak akan mendekati saya sebab saya seorang bekas pesakit Covid-19. Salah seorang kawan saya juga tidak ingin ambil duit baki daripada saya sebab katanya ada virus pada tangan saya.

Nasihat saya kepada semua, tolong jaga SOP. Pakai pelitup muka dengan betul. Apabila ditegur untuk memakai pelitup muka, patuhilah ia. Jaga penjarakan sosial, selalu cuci tangan.

Petugas barisan hadapan sudah melakukan apa yang wajar dengan terbaik, malah ramai kini semakin letih dan sakit.

Akhir sekali, tolong hormati petugas barisan depan. Mereka juga insan yang ada keluarga. Jika datang untuk ujian swab, tolong jangan marah mereka. Tolong jangan cakap seperti C19 ini tipu, KKM buat swab saja-saja untuk membuang masa, ataupun ayat-ayat politik.

Tolong jangan memperlekehkan usaha-usaha para petugas barisan hadapan. Sekian, terima kasih. Stay safe and take care. Kita jaga kita.


DR DALVIN SIDHU ialah seorang pengamal perubatan dan bekas pesakit Covid-19. Catatan pengalaman ini disiarkan dengan izinnya. 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker