Simbol ngeri Covid-19
Wuhan: Imej seorang lelaki terbaring di kaki lima dalam keadaan tidak bernyawa menjadi simbol kengerian pandemik Covid-19 ketika ia mula dikesan penghujung 2019.
Imej berkenaan yang dirakam oleh AFP berlaku berhampiran hospital di pusat bandar ini yang dikenali sebagai pusat wabak.
Namun, mayat yang terbaring kaku itu tidak disentuh sesiapa sehinggalah kakitangan kecemasan tiba untuk memeriksa keadaannya.
Walaupun penyebab kematiannya tidak pernah diketahui, lelaki tidak dikenali yang terbaring itu tetap menjadi gambaran ngeri mengenai bandar yang tenggelam akibat virus pembunuh misteri itu.
Kawasan tempatnya menghembuskan nafas terakhir boleh disifatkan menjadi ‘bandar berhantu’ tahun lalu ketika penduduk yang ketakutan diperintahkan untuk tinggal di rumah pada sekatan pertama seumpamanya dikenakan di dunia.
Namun, kini penduduk Wuhan berbangga dengan kebangkitan semula bandar mereka yang sunyi kira-kira 12 bulan lalu.
Ia juga kini tiada sebarang memori terhadap mayat lelaki yang terbaring keseorangan itu.
Pemilik kedai buah yang terletak hanya beberapa meter dari lokasi lelaki berkenaan dijumpai, Yuan Shaohua berkata, imej itu adalah ‘satu penipuan oleh media asing.’
Hari lelaki itu dijumpai, hanya bunyi siren ambulans kedengaran di laluan yang sepi kerana tiada sebarang kenderaan lain berada di jalan raya.
Wartawan AFP menyaksikan sekurang-kurangnya 15 ambulans berulang-alik mengambil pesakit untuk dihantar ke hospital yang menjadi lokasi utama penempatan pesakit Covid-19.
Walaupun dekat dengan hospital, mayat terbaring itu terbiar selama lebih dari dua jam sebelum dibawa oleh pekerja kecemasan dengan pakaian hazmat dan alat pelindung.
Media tempatan kemudian melaporkan bahawa mangsa yang dikenali sebagai Xie, bukan mangsa Covid-19 namun, tidak memberikan keterangan lanjut.
Malah, pihak hospital dan pihak berkuasa tempatan juga enggan memberi maklumat terperinci walaupun beberapa kali permintaan dibuat.-HM