Darurat: Saman Khairuddin diserah kepada PM, kerajaan hari ini


Salinan saman bagi mencabar keabsahan nasihat perdana menteri mengenai darurat kepada Yang di-Pertuan Agong akan diserahkan kepada Muhyiddin Yassin dan kerajaan hari ini.

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali berkata dokumen itu merupakan salinan saman berisi butiran yang difailkan. Muhyiddin dan kerajaan Malaysia merupakan defendan dalam saman tersebut.

“Salinan saman yang berperekat itu diambil dari mahkamah semalam. Kami akan menyerahkan salinan itu kepada kedua-dua defendan hari ini,” katanya.

Dalam saman berkenaan Muhammad Rafique bertindak bagi pihak Khairuddin Abu Hassan, individu yang dikenali sebagai penyokong kuat Dr Mahathir Mohamad.

Saman tersebut dikemukakan ketika pelbagai pihak berpendapat saranan diberikan kerajaan kepada Agong agar darurat diisytiharkan itu wajar dibawa ke mahkamah.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim juga mengemukakan saman sama bagi mencabar kesahihan nasihat Muhyiddin kepada Agong.

Menurut Rafique mahkamah menetapkan 19 Feb ini sebagai tarikh bagi pengurusan kes saman yang dibawanya dan akan dibuat di depan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mariana Yahya.

Berdasarkan salinan saman asal itu Khairuddin memohon – antara lain – agar mahkamah memutuskan kesahihan nasihat yang diberikan Muhyiddin ketika dia sudah tiada lagi sokongan majoriti di parlimen untuk terus menjadi perdana menteri.

Saman itu meminta mahkamah memastikan sama ada nasihat yang sebegitu adalah tidak sah serta tidak mengikut perlembagaan.

Ketika nasihat tersebut diberikan, kata Khairuddin, Muhyiddin tidak lagi mendapat sokongan minimum untuk menjadi perdana menteri iaitu 111 ahli parlimen.

Muhyiddin, katanya, hanya didukung 110 ahli parlimen saja ketika itu. Ia berlaku selepas tiga pemimpin Umno menarik balik sokongan masing-masing iaitu Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang), Ahmad Jazlan Yaakub (Machang) dan Nazri Aziz (Padang Rengas). Mk

Leave a Reply