Al-Fatihah: Pencipta Mi Goreng Indomie Meninggal Dunia

PENCIPTA varian rasa mi segera terkenal Indomie, Nunuk Nuraini dilapor meninggal dunia Rabu pada usia 59 tahun.

Menurut laporan portal Kompas.com, berita itu disahkan ketua hubungan masyarakat Indofood, Nurlita Novi Arlaida.

“Ibu Hj Nunuk Nuraini wafat hari ini (Rabu) dan pulang dengan tenang ke pangkuan Allah SWT,” kata Novi ketika dihubungi Kompas.com.

Indofood bagaimanapun tidak menyatakan sebab kematian Allahyarham.

Nunuk, yang merupakan graduan dari jabatan teknologi makanan Universiti Padjadjaran di Bandung, telah bertugas sebagai ‘peramu rasa’ di Jabatan Mi Instan di PT Indofood CBP Sukses Makmur Tbk selama hampir 30 tahun.

Antara varian rasa yang dicipta Allahyarham termasuk soto, rendang, kari ayam, sambal matah, dan paling popular perisa mi goreng Indomie.

Pada November 2019, produk Indomie dinobat sebagai ramen terenak oleh LA Times.

Produk terkenal dari Indonesia itu pertama kali dikeluarkan pada 1972 dan mendapat permintaan tinggi di seluruh negara termasuk di negara jiran, antaranya Malaysia.

Susulan berita duka itu, kalangan netizen mengucapkan takziah atas pemergian Allahyarham dan mengungkapkan rasa bangga atas legasi yang ditinggalkannya.

Leave a Reply