Kampung Pengkalan Bukit Garam di Kinabatangan tak selamat diduduki, kata Bung

KINABATANGAN: Timbalan Ketua Menteri Sabah Bung Moktar Radin berkata, Kampung Pengkalan Bukit Garam tidak sesuai lagi diduduki susulan ancaman keselamatan dan kesihatan.

Katanya, keputusan itu dibuat jawatankuasa keselamatan serta Majlis Daerah Kinabatangan selepas mengambil kira beberapa faktor, termasuk ancaman banjir setiap kali hujan lebat.

“Kawasan perkampungan ini bukan saja tidak selamat diduduki, malah dari segi kesihatan, situasinya amat membimbangkan.

“Keadaan perumahan di situ tidak tersusun dalam semua aspek, termasuk tiada pelan perancangan, tiada kemudahan, malah kedudukannya berhampiran dengan Sungai Kinabatangan dan sering terdedah kepada masalah banjir apabila hujan lebat,” katanya selepas melawat kampung itu dan menyampaikan bantuan bakul makanan kepada penduduk baru-baru ini.

Ahli Parlimen Kinabatangan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag itu berkata, kerajaan sudah menyediakan sebuah tapak baru untuk penempatan semula penduduk Kampung Pengkalan Bukit Garam, tetapi segelintir penduduk enggan berpindah.

“Sebilangan penduduk merasakan perkampungan ini masih selamat diduduki dan kita harus menyedarkan mereka keadaan adalah sebaliknya.

“Saya akan bertemu semula dengan penduduk kampung ini untuk memaklumkan mereka keadaan sebenar, selain memberikan cadangan terbaik demi keselamatan dan masa depan mereka.”

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker