Peniaga, pembeli mengeluh ikan, sayur harga ‘kayangan’ sepanjang PKP

Kebanyakan peniaga dan pengguna merungut berikutan peningkatan harga barangan keperluan yang begitu ketara selepas dua minggu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dilaksanakan.

Beberapa peniaga dan pelanggan yang ditemui MalaysiaGazette melahirkan kebimbangan kerana harga sayur-sayuran dan ikan semakin mahal sehingga mereka terpaksa mengeluarkan kos yang agak tinggi untuk perbelanjaan dapur.

 



MGF26012021_TINJAUAN-PASAR-DATO-KERAMAT_-2
Shamsuar Paimin

Peniaga sayur, Shamsuar Paimin, 48, menyenaraikan beberapa jenis sayuran antaranya bendi, timun jepun, terung panjang, kacang buncis, petola serta tomato yang terpaksa dijual dengan harga lebih tinggi berbanding kebiasaan.

Jelas Shamsuar, timun jepun dijual dengan harga mencecah RM14 bagi sekilogram kerana kos pembelian sekitar RM10.

“Tomato sekarang kami jual RM10 di sini, kita beli RM6.50 ke RM7 tapi kebiasaannya sebelum ini harga RM3 sahaja dari pasar borong.

 



“Memang rasa terbeban kerana jika sebelum PKP untuk meja yang penuh ini kita bermodalkan RM2,000 tapi sekarang sudah cecah RM2,500 hingga RM2,800 tak kira pada hujung minggu lagi meningkat.

“Pada pelanggan pun kita kena terangkan sebaik mungkin kenapa berlaku kenaikan harga sayur kerana pelanggan ini dikira sebagai ‘raja’ dan terpulang kepada mereka untuk beli atau sebaliknya,” katanya ketika ditemui di Pasar Datuk Keramat di sini hari ini.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai faktor kenaikan mendadak harga sayur-sayuran yang berada di pasaran, Shamsuar menjelaskan bahawa Pasar Borong Kuala Lumpur ada menutup operasi baru-baru ini.

 



Kata Shamsuar, perkara itu mungkin menjadi salah satu sebab mengapa harga barangan meningkat, selain turut mengaitkan dengan sekatan perjalanan ketika PKP.

MGF26012021_TINJAUAN-PASAR-DATO-KERAMAT_-5
Roslan Kolan

Sementara itu, seorang peniaga ikan, Roslan Kolan, 63, meluahkan kegusarannya kerana agak sukar untuk mendapatkan ikan-ikan yang berkualiti dan segar ketika PKP.

“Zaman PKP ikan yang elok-elok susah hendak dapat, samalah juga dengan bekalan ikan sekarang jadi mungkin itu yang menyebabkannya jadi mahal, agaknya bekalan berkurangan.

“Harga ikan besar seperti tenggiri, senangin dan merah memang mahal dan harga berbeza sehingga RM5 hingga RM6. Kalau ikan kecil macam kembung biasanya dijual RM10 hingga RM12 sekilogram tetapi jika naik ada sampai RM18,” ujarnya.



MGF26012021_TINJAUAN-PASAR-DATO-KERAMAT_-8
Harun Mat

Bagi peniaga ayam, Harun Mat, 47, berlaku penurunan harga bagi sekilogram ayam segar di pasar ketika ini.

Jelas Harun, dia menjual ayam segar dalam harga lingkungan RM8 bagi satu kilogram berbanding RM8.50 sebelum pelaksanaan PKP.

“Ketika bermulanya PKP harga ayam ada penurunan sebab restoran dan kedai makan pun tak banyak beroperasi jadi ada lambakan bekalan itu yang harga jadi kurang sedikit,” katanya.

MGF26012021_TINJAUAN-PASAR-DATO-KERAMAT_-17
Mazlan Mohd

Seorang pengguna, Mazlan Mohd, 67, ketika ditemui juga merungut dengan harga barangan basah yang begitu mahal sehingga perlu mengeluarkan lebih perbelanjaan.



Pesara itu berkata, perbezaan begitu ketara dilihat pada harga sayur-sayuran yang dijual di pasar.

“Macam-macam tapi boleh kata semua sayur mahal, kangkung pun mahal sampai RM2 bagi satu ikat.

“Semasa PKP ini ikan pun mahal, kalau tengok ikan kembung pun boleh cecah sehingga RM18 hingga RM22, kadang-kadang lagi mahal dari siakap.

“Hendak tak hendak kena keluarkan duit lebih untuk barang basah sebab memang kena beli untuk makan setiap hari,” katanya.



MGF26012021_TINJAUAN-PASAR-DATO-KERAMAT_-22
Hamdan Hamid

Berbeza pula dengan seorang lagi pengguna, Hamdan Hamid, 50, yang menyatakan harga barangan basah ketika ini masih lagi berpatutan.

“Bagi saya setakat ini harga masih berpatutan, tiada mahal dan tiada murah sangat.

“Macam saya hanya seminggu sekali beli barang basah tapi bagi peniaga mungkin berlainan pula. Maklum lah zaman PKP ini dengan keadaan pelanggan kurang dan barangan pun payah hendak dapat,” ujarnya. – MG

Sayur naik harga kerana banjir

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker