Proklamasi Darurat: Anwar kemuka semakan kehakiman

Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengemukakan semakan kehakiman terhadap tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menasihatkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah untuk mengisytiharkan Proklamasi Darurat.

Peguam Ramkarpal berkata, semakan kehakiman telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

“Antara relif yang dipohon di dalam permohonan tersebut adalah satu deklarasi dari mahkamah bahawa nasihat Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menggantung Parlimen dalam tempoh darurat yang diisytiharkan baru-baru ini adalah bertentangan undang-undang dan tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan.



“Permohonan tersebut difailkan oleh Dato Seri Anwar Ibrahim sebagai pemohon (selaku Ketua Pembangkang Dewan Rakyat) melalui Tetuan Karpal Singh & Co,” katanya hari ini.

Pada 17 Januari lalu, Anwar memberitahu akan mencabar langkah pengisytiharan darurat yang dibuat kerajaan di mahkamah.

 

Beliau mendakwa, Proklamasi Darurat itu sebagai langkah terdesak dan melulu, tanpa sebarang asas kukuh, sehingga melebarkan jurang antara rakyat dan kerajaan.



Anwar menamakan Muhyiddin dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Dalam pada itu, Ramkarpal berkata, semakan kehakiman ini bukannya pengisytiharan darurat tetapi keputusan Perdana Menteri (melalui Jemaah Menteri) untuk menasihati Yang di Pertuan Agong untuk meluluskan kaedah 14 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menggantung persidangan Parlimen dalam tempoh darurat tersebut.

 

“Nasihat Perdana Menteri tersebut adalah dikatakan bertentangan undang-undang,” jelas Ramkarpal. – MalaysiaGazette



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker