PKP main pilih-pilih, punca kes Covid-19 terus meningkat


PKP main pilih-pilih, punca kes Covid-19 terus meningkat – Mohd. Puad

MEMANG tidak dinafikan, ketika penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 ia tidaklah seketat seperti kali pertama dilaksanakan ketika Mac 2020.

Kini, hampir semua sektor ekonomi yang bukan asas dibenarkan beroperasi termasuklah kilang-kilang yang mempunyai ramai pekerja sehingga menimbulkan banyak kluster baharu.

Jangkitan dalam kalangan pekerja adalah tinggi, perkara itu juga diakui Kementerian Kesihatan (KKM) apabila kluster-kluster baharu terdiri daripada kumpulan itu.

Berbanding dahulu, semua sektor seperti pembuatan dan pembinaan adalah ditutup, namun apabila dibenarkan beroperasi sudah pasti prosedur operasi standard (SOP) sukar dipatuhi.

Ini kerana, dalam sektor pembuatan, tatacara kerja pasti sukar diubah, pekerja yang ramai dan di tempat kerja pula mereka pastinya duduk atau berdiri rapat-rapat.

Justeru, pelaksanaan PKP pada kali ini dipersoal ramai pihak, malah ada yang mengatakan ada seperti tiada. PKP tetapi jalan raya masih sesak.

“Apa guna PKP 2.0 disambung setiap minggu kalau PKP tidak ada hala tuju. Tidak tegas, main pilih-pilih pula. Apakah itu sahaja cara yang kerajaan ada.

“Kalau ‘PKP longgar’ lanjut setiap minggu, bukan sahaja ekonomi jahanam, hidup rakyat juga jahanam.”

Demikian kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi dalam satu kenyataan hari ini mengulas peningkatan kes baharu jangkitan Koronavirus (Covid-19).

Beliau berkata, dalam keadaan hari ini tidak mustahil kes akan meningkat sehingga 7,000 dalam masa terdekat.

Ini kerana, menurutnya sudah 11 hari PKP dilaksanakan tetapi tiada tanda-tanda langsung kes akan menurun, sebaliknya kes baharu dan kematian terus meningkat.

“11 hari sudah berlalu. PKP dilanjut seminggu lagi hingga 4 Februari. Ada doktor meramalkan kes boleh meningkat sampai 7000. Berat ni.

“Pendedahan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menimbulkan tanda tanya. Sejak 6 Januari, sejumlah 350 kluster baru telah dilaporkan. 225 kluster atau 64.3 peratus adalah berkaitan kluster tempat kerja.

“Kluster perkilangan paling tinggi iaitu 80 kluster. Pembinaan 53 kluster. Perkhidmatan 31 kluster. Kenapa dalam PKP sektor perkilangan dan pembinaan dibenarkan beroperasi. Itu lubuk jangkitan.

“Apakah kebimbangan Noor Hisham itu bukti dia tidak puas hati cara Muhyiddin laksana PKP. Apakah KKM minta ‘darurat kesihatan’ tetapi dapat ‘darurat politik’,” katanya.

Semalam, KKM memaklumkan sebanyak 4,275 kes baharu dilaporkan dan angka tersebut adalah paling tinggi dicatatkan dan berlaku dalam tempoh penguatkuasaan PKP2.0

Catatan tersebut menjadikan jumlah kes Covid-19 pernah direkodkan dinegara ini adalah sebanyak 180,455 dengan jumlah kematian sebanyak 667 yang disumbangkan kematian baharu sebanyak tujuh kes. SM

Rakyat tidak boleh pilih-pilih vaksin, kata Khairy

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker