Tak Fikir Kahwin Muda – Ismail Izzani

Dua tahun menyulam cinta, penyanyi, Ismail Izzani, 21, menghadiahkan cincin bertatah berlian sebagai simbolik cinta terhadap kekasihnya, Shalma Eliana, 21.

Berkongsi pemberian cincin berlian berkenaan dalam Instagram (IG) Story, Ismail dan Shalma meraih perhatian. Malah, menimbulkan tanda tanya adakah pasangan muda itu sudah bersedia untuk melangkah ke fasa seterusnya dalam perhubungan cinta yang terjalin.

Bagaimanapun, sebelum timbul salah faham, penyanyi lagu Luar Biasa itu awal-awal menulis keterangan pada gambar, cincin berlian itu hanyalah simbolik janji setia, sebelum Shalma menyambung pengajian ke luar negara selama dua tahun pada September depan.

Ismail berkata, dia dan Shalma masih muda, perjalanan hidup masih jauh. Banyak perkara yang ingin dilakukan dan dicapai terlebih dahulu sebelum mendirikan rumah tangga.

“Saya sering berseloroh ingin berkahwin dalam media sosial. Sebenarnya, semuanya ini hanyalah gurauan. Setakat ini, saya belum terfikir untuk mendirikan rumah tangga. Lagi pun, saya dan Shalma baru memasuki usia 21 tahun.

“Banyak perkara yang ingin dicapai dalam kerjaya. Begitu juga dengan Shalma, dia mempunyai cita-cita termasuk mahu melanjutkan pengajian ke luar negara.

“Saya menyokong apa sahaja yang Shalma ingin lakukan, takkanlah saya mahu menghalang cita-citanya. Saya tidak menyambung pengajian, jadi biarlah kekasih capai impian belajar di luar negara,” kata Ismail kepada BH Online.

 

Perjalanan hidup Ismail Izzani dan kekasihnya, Shalma Eliana masih jauh, banyak perkara yang ingin dicapai sebelum mendirikan rumah tangga. - Foto IG Ismail Izzani
Perjalanan hidup Ismail Izzani dan kekasihnya, Shalma Eliana masih jauh, banyak perkara yang ingin dicapai sebelum mendirikan rumah tangga. – Foto IG Ismail Izzani

 

Ismail berkata, dia tidak mahu menunjukkan terlalu asyik dibuai cinta, sebaliknya cita-cita masih jauh untuk digapai.

“Saya mahu membuktikan kepada keluarga, kami bukan hanya tahu bercinta sahaja, tetapi tetap fokus mengejar impian masing-masing.

“Bukan mudah mahu berjauhan dengan Shalma, tetapi saya akan menggunakan peluang ini meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga. Memanglah sedih terpaksa berjauhan, saya tahu betapa beratnya menanggung kerinduan kerana kakak saya pernah belajar di United Kingdom. Tetapi, saya perlu positif, Shalma ke sana demi masa depannya,” katanya.

Mengenai perancangan mendirikan rumah tangga, Ismail berkata, dia hanya akan memikirkannya secara serius apabila usianya memasuki 28 tahun.

Namun, katanya, andai ditakdirkan jodohnya cepat, dia tetap menerima dengan hati yang terbuka.

“Bagaimanapun, saya tidak mahu terburu-buru membuat keputusan mahu berkahwin. Ini kerana saya menyedari tanggungjawab bergelar ketua keluarga berat untuk dipikul.

“Sebab itulah, saya belum memikirkan soal berumah tangga. Jadi, biarlah saya fokus kepada kerjaya terlebih dahulu,” kata anak bongsu kepada penyanyi era 1990-an, Datin Suliza Salam.

Ismail dan Shalma berkawan sejak tingkatan dua, bagaimanapun hubungan semakin erat apabila Shalma memilih single Sabar sebagai lagu saduran pertama yang dimuat naik dalam YouTube.

Mampu beli seluar dalam sendiri, Ismail Izzani nak kahwin

Penyanyi Ismail Izzani telah mencuri tumpuan pengikutnya dalam Instagram selepas memuat naik foto membeli sehelai seluar dalam.

Apa yang menarik perhatian, penyanyi yang popular menerusi lagu Luar Biasa itu berkata kepada ibunya, Datin Suliza Salam bahawa dia kini sudah layak berkahwin kerana mampu membeli seluar dalam sendiri.

“Mama (panggilan buat ibunya), Zani (panggilan untuk Ismail) dah boleh kahwinlah sebab dah beli seluar dalam sendiri,” tulisnya.

Membalas kenyataan tersebut, ibunya membalas; “Anak bertuah, ada ke yang nak kahwin dengan sayang manja mama ni?”

Perkongsian Ismail ternyata mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan peminatnya pada ruangan komen foto tersebut.

Rata-rata peminat terhibur, bahkan ada juga yang kurang senang dengan perkongsian Ismail tentang gurauan yang dilakukannya.

“Kenapa tunjuk seluar dalam, tak malu ke?” kata salah seorang pengguna Instagram.

Malah ada juga komen nakal yang bertanyakan tentang saiz seluar dalam yang dipakai oleh penyanyi berusia 20 tahun itu. – K! ONLINE

Leave a Reply