Cubaan Meragut Semasa Sekatan Jalanraya, Akhirnya Digagalkan Oleh Orang Awam

GOMBAK: Cubaan dua lelaki bertindak nekad meragut seorang wanita berhampiran sekatan jalan raya (SJR) Plaza Tol Gombak akhirnya membawa padah apabila mereka ditahan orang awam.

Menurut Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, kejadian berlaku kira-kira jam 10.10 pagi Jumaat ketika mangsa berusia 32 tahun itu sedang berada di dalam kenderaannya sewaktu melalui satu sekatan jalan raya.

Bagaimanapun, sebuah motosikal dinaiki dua lelaki tempatan secara tiba-tiba datang dan memecahkan cermin kenderaan mangsa di sebelah bahagian penumpang.

“Suspek kemudian telah mengambil beg tangan pengadu dan terus melarikan diri. Pengadu kehilangan dokumen penting dan wang tunai RM90.

“Sejurus suspek memecahkan cermin kereta pengadu, sebuah lori bersebelahan kereta pengadu yang nampak kejadian telah bertindak membunyikan hon disusuli beberapa pemandu kenderaan lain turut membunyikan hon.

“Ketika suspek cuba melarikan diri dengan motosikal, suspek terjatuh apabila motosikalnya terlanggar pintu sebuah lori yang mana seorang pemandu lori telah bertindak membuka pintu untuk menghalang suspek dari melarikan diri,” katanya dalam kenyataan media pada Sabtu.

Suspek bagaimanapun berjaya ditahan oleh beberapa orang awam sebelum menyerahkan kepada anggota polis bertugas di sekatan jalan raya kira kira 100 meter dari lokasi kejadian.

Hasil siasatan mendapati motosikal digunakan suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu dan dilaporkan hilang di Taman Melawati.

“Pemeriksaan ke atas dua beg bimbit suspek telah menjumpai dua kad pengenalan orang lain. Semakan mendapati terdapat laporan polis yang dibuat oleh kedua-dua penama tersebut di kawasan Sentul dan Brickfields pada 22 Januari 2021.

“Dimana kejadian berlaku di persimpangan lampu isyarat dengan menggunakan modus operandi yang sama iaitu memecahkan cermin kereta.

“Dengan tertangkapnya kedua-dua suspek ini, pihak polis telah berjaya menyelesaikan empat kes jenayah yang berlaku di daerah Gombak dan di Kuala Lumpur setakat ini,” katanya lagi.

Pemeriksaan lanjut mendapati, suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.

Kedua-dua suspek masing-masing berusia 24 dan 28 tahun itu direman selama lima hari sehingga 27 Januari depan untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat dibawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

One thought on “Cubaan Meragut Semasa Sekatan Jalanraya, Akhirnya Digagalkan Oleh Orang Awam

  • February 1, 2021 at 15:39
    Permalink

    Allahuakbar. Sempat lagi ya nak buat jenayah time sekatan jalan raya ni.. nasib baik dapat tangkap. Good job

    Reply

Leave a Reply