Tak Fikir Kahwin Muda – Ismail Izzani
Dua tahun menyulam cinta, penyanyi, Ismail Izzani, 21, menghadiahkan cincin bertatah berlian sebagai simbolik cinta terhadap kekasihnya, Shalma Eliana, 21.
Berkongsi pemberian cincin berlian berkenaan dalam Instagram (IG) Story, Ismail dan Shalma meraih perhatian. Malah, menimbulkan tanda tanya adakah pasangan muda itu sudah bersedia untuk melangkah ke fasa seterusnya dalam perhubungan cinta yang terjalin.
Bagaimanapun, sebelum timbul salah faham, penyanyi lagu Luar Biasa itu awal-awal menulis keterangan pada gambar, cincin berlian itu hanyalah simbolik janji setia, sebelum Shalma menyambung pengajian ke luar negara selama dua tahun pada September depan.
Ismail berkata, dia dan Shalma masih muda, perjalanan hidup masih jauh. Banyak perkara yang ingin dilakukan dan dicapai terlebih dahulu sebelum mendirikan rumah tangga.
“Saya sering berseloroh ingin berkahwin dalam media sosial. Sebenarnya, semuanya ini hanyalah gurauan. Setakat ini, saya belum terfikir untuk mendirikan rumah tangga. Lagi pun, saya dan Shalma baru memasuki usia 21 tahun.
“Banyak perkara yang ingin dicapai dalam kerjaya. Begitu juga dengan Shalma, dia mempunyai cita-cita termasuk mahu melanjutkan pengajian ke luar negara.
“Saya menyokong apa sahaja yang Shalma ingin lakukan, takkanlah saya mahu menghalang cita-citanya. Saya tidak menyambung pengajian, jadi biarlah kekasih capai impian belajar di luar negara,” kata Ismail kepada BH Online.
Ismail berkata, dia tidak mahu menunjukkan terlalu asyik dibuai cinta, sebaliknya cita-cita masih jauh untuk digapai.
“Saya mahu membuktikan kepada keluarga, kami bukan hanya tahu bercinta sahaja, tetapi tetap fokus mengejar impian masing-masing.
“Bukan mudah mahu berjauhan dengan Shalma, tetapi saya akan menggunakan peluang ini meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga. Memanglah sedih terpaksa berjauhan, saya tahu betapa beratnya menanggung kerinduan kerana kakak saya pernah belajar di United Kingdom. Tetapi, saya perlu positif, Shalma ke sana demi masa depannya,” katanya.
Mengenai perancangan mendirikan rumah tangga, Ismail berkata, dia hanya akan memikirkannya secara serius apabila usianya memasuki 28 tahun.
Namun, katanya, andai ditakdirkan jodohnya cepat, dia tetap menerima dengan hati yang terbuka.
“Bagaimanapun, saya tidak mahu terburu-buru membuat keputusan mahu berkahwin. Ini kerana saya menyedari tanggungjawab bergelar ketua keluarga berat untuk dipikul.
“Sebab itulah, saya belum memikirkan soal berumah tangga. Jadi, biarlah saya fokus kepada kerjaya terlebih dahulu,” kata anak bongsu kepada penyanyi era 1990-an, Datin Suliza Salam.
Ismail dan Shalma berkawan sejak tingkatan dua, bagaimanapun hubungan semakin erat apabila Shalma memilih single Sabar sebagai lagu saduran pertama yang dimuat naik dalam YouTube.
[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=RLF5kgCJPLA[/embedyt]
You must be logged in to post a comment.