Sultan, Permaisuri Selangor Dukacita Haiwan Terbiar Diperlakukan Secara Kejam
SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan perasaan dukacita apabila ada individu dan pihak tertentu sengaja berlaku kejam terhadap haiwan terbiar khususnya kucing dan anjing.
Baginda berdua turut terkilan apabila mereka tidak tahu kaedah terbaik untuk melindungi haiwan-hawian tersebut khususnya ketika dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini dan menitahkan rakyat Selangor agar tidak mengabaikan tanggungjawab melindungi haiwan terbiar itu.
Pernah menjadi kucing terbiar, Snowy kini menjadi peneman setia dan sentiasa berada di sisi Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Sultan Sharafuddin bertitah adalah sangat penting untuk kita semua memiliki sifat belas kasihan terhadap haiwan sebegini dan menjadi tanggungjawab bersama memberi makan dan perlindungan.
Titah baginda, ini termasuk sama ada ketika dalam peliharaan atau pun apabila haiwan itu berada di dalam habitat sendiri.
“Pihak-pihak berkuasa tempatan (PBT) juga harus lebih pro-aktif dan bijak menangani isu haiwan terbiar ini secara holistik, dan bukan memberi gambaran buruk yang akhirnya akan menyebabkan haiwan-haiwan ini dikurung atau dibunuh.
“Beta mahu PBT menjadikan negara Turki sebagai model, bagaimana pihak berkuasa negara itu mengendalikan haiwan-haiwan terbiar yang tidak berdosa ini daripada dizalimi,” titahnya dalam satu kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah hari ini.
Menerusi kenyataan itu juga, baginda berdua sendiri kini memelihara beberapa ekor kucing terbiar yang telah dikasi (neuter) dan diberi perlindungan secukupnya termasuk Snowy yang kini menjadi kucing kesayangan dan peneman setia baginda.
Kucing terbiar itu pada mulanya datang ke kediaman Sultan Sharafuddin empat tahun lalu untuk mencari makanan, namun diambil sebagai haiwan angkat di atas inisiatif baginda sendiri.
“Seperti kucing terbiar lain yang diambil untuk dipelihara, Snowy telah dihantar ke doktor veterinar untuk dikasi dan dibersihkan.
“Selain Snowy, Tengku Permaisuri Norashikin yang juga Penaung Diraja kepada program Stray Free Selangor (SFS) kendalian Society For The Prevention of Cruelty Animals (SPCA Selangor) telah menyelamatkan lebih 100 ekor kucing terbiar dengan kira-kira 30 ekor daripadanya dipelihara baginda sendiri, manakala selebihnya diberi sebagai haiwan angkat,” titah baginda.
Justeru, Sultan Sharafuddin menitahkan menerusi kaedah mengambil haiwan angkat dapat membantu haiwan terbiar ini boleh menjadi haiwan peliharaan yang bersih dan menyenangkan sekiranya diberikan rawatan dan penjagaan yang rapi oleh kita.
Untuk rekod, sejak Mac 2017 sehingga Disember 2020, sejumlah 7,117 ekor kucing dan anjing terbiar telah dikasi dibawah program SFS yang diselia oleh SPCA Selangor.
Dalam pada itu, baginda berdua turut mengingatkan rakyat jelata agar terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) PKP yang ditetapkan termasuk memakai pelitup muka dan hanya keluar dari rumah bila perlu bagi membendung wabak berbahaya Covid-19 daripada terus menular. -K! ONLINE.
Sultan Sharafuddin dukacita gangguan bekalan air berlaku lagi
You must be logged in to post a comment.