Sultan Sharafuddin dukacita gangguan bekalan air berlaku lagi · MYKMU.NET

Sultan Sharafuddin dukacita gangguan bekalan air berlaku lagi

Share

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah amat dukacita dengan keluhan dan nasib rakyat terpaksa berdepan masalah gangguan bekalan air yang terus berlaku di negeri ini,Kuala Lumpur dan Putrajaya ketika bergelut dengan wabak Covid-19.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, Sultan Sharafuddin bertitah telah berulang kali menulis surat kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri berhubung isu bekalan air semenjak tahun 2010 lagi.

Katanya, baginda menitahkan supaya masalah air ini jangan dipolitikkan dan diatasi dengan segera kerana ia adalah merupakan keperluan asas kehidupan rakyat.

“Surat baginda yang terkini mengenai isu gangguan bekalan air telah dihantar kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bertarikh 8 September lalu.

“Dalam surat tersebut, Sultan Sharafuddin telah memberikan nasihat serta beberapa syor dan pandangan untuk mengatasi masalah bekalan air bersih tetapi nampaknya tidak memberi kesan kerana masalah yang sama masih terus berlaku dan berulang sehingga menyusahkan rakyat yang baginda kasihi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, seramai 1,196,457 akaun merangkumi 1,292 di tujuh wilayah mengalami gangguan air tidak berjadual susulan henti tugas empat Loji Pembersihan Air (LPA) tengah malam tadi akibat pencemaran bau.

Ini meliputi Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Dalam perkembangan berlainan, Mohamad Munir memberitahu Sultan Sharafuddin turut menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kes baharu positif Covid-19 di Selangor khususnya dan di Malaysia amnya, yang telah mencapai jumlah tertinggi sejak bulan Mac 2020.

Justeru, baginda menyeru rakyat agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan tidak ingkar dengan arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Nasional (MKN).

“Fokus ketika ini adalah untuk memastikan risiko jangkitan dapat dikurangkan dan seterusnya menghapuskan penularan wabak Covid-19 di Malaysia.

“Baginda secara spesifik turut menasihatkan rakyat supaya terus berada di rumah serta tidak keluar jika tiada keperluan mendesak dan hendaklah sentiasa memakai pelitup muka apabila berada di tempat-tempat awam,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Sultan Sharafuddin turut meminta individu-individu yang pernah pergi ke lokasi-lokasi yang berisiko atau kawasan yang dikategorikan sebagai zon merah melaporkan segera kepada pusat kesihatan terdekat untuk melakukan saringan dan tidak menyembunyikan status kesihatan masing-masing.

“Baginda amat menghargai usaha para doktor dan jururawat serta petugas barisan hadapan yang bersungguh-sungguh untuk memberi rawatan kepada pesakit-pesakit Covid-19.

“Oleh yang demikian, janganlah membebankan petugas barisan hadapan kerana baginda mendapat tahu terdapat ramai rakyat yang masih tidak mematuhi arahan dan melanggar SOP yang telah ditetapkan,” jelasnya. – K! ONLINE

Sultan hanya menegur Mahathir selepas mendapat semua fakta

Leave a Reply